AZMIR MERICAN AZMI MERICAN
AZMIR MERICAN AZMI MERICAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sime Darby Property Bhd (SDP), optimis mencapai jualan sebanyak RM2.4 bilion bagi tahun kewangan 2021 disokong menerusi pelan perancangan strategi dan projek bercampurnya serta dipacu pasaran positif tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Azmir Merican Azmi Merican berkata, pihaknya yakin sasaran jualan itu dapat dicapai terutama menerusi kesinambungan kempen pemilikan rumah (HOC), kadar dasar semalaman yang rendah iaitu 1.75 peratus dan pengecualian duti setem serta cukai keuntungan harta tanah (RPGT).

Katanya, selain itu, Sime Darby Property juga akan memberi tumpuan membina unit kediaman bertanah, bertingkat, bangunan lot industri dan komersial yang berharga RM750,000 ke bawah.

"Biarpun, pasaran kediaman dijangka pulih menjelang 2020, namun permintaan unit kediaman bertanah kekal mendapat permintaan dan kami percaya pembeli akan mengambil peluang untuk membeli kediaman idaman mereka berikutan kadar faedah yang rendah.

"Malah dengan pelbagai rebat, insentif, promosi serta tawaran menarik melalui HOC, ia akan terus membantu meningkatkan permintaan hartanah kediaman.

"Dan sekiranya sempadan antarabangsa dibuka semula nanti, kami pasti pelabur asing juga akan kembali," katanya pada taklimat media keputusan kewangan SDP secara maya di sini, hari ini.

Kumpulan juga akan memperluas penawaran produk merangkumi gudang siap dibina pertamanya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM530 juta di Gerbang Perindustrian Bandar Bukit Raja.

Menurutnya, di bawah segmen kediaman, SDP pada Mac ini, melancarkan Jendela Residences yang terletak di bandar utama KLGCC Resort, dengan GDV kira-kira RM900 juta.

Projek kediaman bertingkat ini menjadi pertama SDP yang akan dilancarkan pada 2021.

SDP mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM478.80 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding keuntungan bersih RM598.53 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2019.

Hasil merosot kepada RM2.06 bilion berbanding RM3.18 bilion sebelum itu.

Azmir berkata, segmen pembangunan hartanah dipengaruhi perkongsian kerugian susut nilai daripada Battersea Project Holding Co Ltd serta anak syarikatnya, usaha sama 40 peratus milik kumpulan berkaitan dengan projek Battersea Power Station di London.

Beliau berkata, berikutan cabaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19 di London, dan yang lebih utama, kesannya kepada penyampaian Projek Battersea, Battersea Group sudah mengenal pasti berlakunya kelembapan dalam kerja-kerja pembinaan dan inventori yang dibangunkan pada suku sebelumnya.

"Bahagian 40 peratus penurunan nilai kumpulan yang diakui oleh Battersea Group berjumlah RM337.1 juta ( £62.4 juta).

"Kemerosotan itu disebabkan kesan peningkatan kos yang dikaitkan dengan pandemik, terutama kesan pelaksanaan langkah penjarakan sosial dan tempoh sekatan pergerakan di United Kingdom yang mempengaruhi program penyampaian Projek Battersea," katanya.

Bagaimanapun, SDP berkata, walaupun terdapat kesan Covid-19 pada pasaran, Projek Battersea terus mengekalkan momentumnya dengan penjualan kediaman dan sewa komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 2:23 PM