Kuala Lumpur: UBS Investment Bank (UBS) menjangkakan ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat dengan kenaikan lima peratus pada hujung tahun ini berikutan mata wang asing berkenaan dijangkakan sudah berada di paras stabil.

Kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika berikutan kejatuhan harga minyak mentah yang meningkatkan nilai mata wang asing itu dan UBS menjangkakan kenaikan harga minyak secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan menstabilkan kembali paras mata wang negara.

Pengarah Urusan dan Pakar Ekonomi Globalnya, Paul Donovan berkata, kelemahan nilai ringgit memberi manfaat kepada Malaysia dalam meningkatkan eksport komoditi berikutan pertumbuhan dalam permintaan terutama membabitkan negara yang mempunyai populasi konsumer ramai.

Beliau berkata, China antaranya memainkan peranan penting dalam menggalakkan pasaran eksport Malaysia memandangkan kuasa pembelian yang tinggi dalam kalangan pengguna berbanding pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara republik itu.

“Menerusi tinjauan yang dilakukan mendapati kuasa pembelian rakyat China meningkat 10.4 peratus setahun berbanding lapan peratus KDNK negaranya. Ini menunjukkan permintaan konsumer dengan populasi berskala besar membantu meningkatkan dagangan.

“Pada masa sama, usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengukuhkan Ringgit menerusi kemudahan polisi kaedah faedah turut membantu memacu kepada pengukuhannya,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:14 AM