AIREEN (dua dari kiri) bersama panel hakim.
AIREEN (dua dari kiri) bersama panel hakim.
BARISAN finalis yang bakal bersaing di atas pentas KL Fashion Week.
BARISAN finalis yang bakal bersaing di atas pentas KL Fashion Week.
ANTARA peserta peringkat awal yang mengambil bahagian.
ANTARA peserta peringkat awal yang mengambil bahagian.

Pelbagai peluang tersedia untuk anak muda menonjolkan bakat mereka. Basyar Mustapha melihat pertandingan pencarian pereka muda terbaru ini sebagai satu batu loncatan yang bagus untuk anak muda berbakat.

Percaya dengan bakat muda dalam negara dan ingin memberi platform untuk mengembangkannya, syarikat penerbangan AirAsia melancarkan pertandingan AirAsia Runway Ready Designer Search 2015, baru-baru ini.

Pertandingan rekaan fesyen ini memberi peluang kepada pelajar rekaan fesyen dari seluruh negara menonjolkan bakat mereka dalam dunia fesyen dan sekali gus membuka peluang untuk mereka mencipta nama dalam industri.

Dilancarkan bulan lalu, pertandingan ini menerima 350 penyertaan daripada pelajar jurusan rekaan fesyen dan pereka dari seluruh negara.

Sejumlah 62 pereka disenarai pendek dan diberi peluang membentangkan inspirasi serta rekaan mereka kepada panel hakim termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar, Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) Ready To Wear Andrew Tan, pereka fesyen berpengalaman Khoon Hooi, Jovian Mandagie dan editor majalah fesyen EH! Khairul Abidin Ishak.

Pencarian dianjurkan dengan kerjasama KL Fashion Week Ready to Wear itu memilih 10 pereka muda untuk bersaing secara sihat di pentas pentas akhir.

Finalis terpilih ini akan mempamerkan koleksi mereka di pentas peragaan Minggu Fesyen KL Fashion Week RTW 2015 pada Ogos nanti.

Pada majlis pelancaran Aireen berkata, syarikat penerbangan itu sentiasa menyokong inisiatif pembangunan bakat muda di rantau ini.

“Sukar bagi kami memilih daripada 62 pereka yang disenarai pendek kepada 25 orang dan seterusnya 10 finalis.

“Saya sememangnya sangat teruja untuk menyaksikan semua anak muda ini dengan rekaan masing-masing di atas pentas KL Fashion Week RTW 2015 Ogos ini,” katanya.

Tan berkata KLFW sangat berbesar hati dengan komitmen AirAsia membantu membangunkan bakat muda dan memilih industri fesyen sebagai salah satu inisiatif untuk disokong.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada 10 finalis yang akan bertanding di pusingan akhir Ogos ini dan kami, pasukan KLFW akan bekerjasama rapat dengan mereka bagi memberikan nasihat serta panduan kepada mereka dalam mencapai potensi penuh masing-masing menerusi AirAsia Runway Designer Search 2015 ini,” katanya.

Finalis adalah Shazmin Hashim, Syamil Fazwan dan Muhammad Nur Hazimin, daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Lee Bao En dari UCSI University, Liew Suet Yi, Ong Pei Yin, dan Ter Mei Ching dari Esmod Kuala Lumpur The One Academy, Nur Irsalina Sulzaily dari Limkokwing University of Creative Technology serta Andy Yeo Kai Seh dan Foo Yee Ming dari Malaysian Institute of Art (MIA).

Tiga pereka terbaik akan diumumkan di pentas akhir pencarian ini dan bakal memegang gelaran ‘AirAsia Most Promising Designer 2015’, bersama hadiah lumayan yang lain termasuk piala, tiket pergi balik ke Tokyo, Sydney dan Hong Kong dengan 60,000 AirAsia BIG Points setiap satu dan komputer riba.

Mereka peluang untuk mempersembahkan koleksi penuh pada KL Fashion Week RTW tahun hadapan selain peluang menjadi sebahagian daripada Minggu Fesyen negara jiran dan banyak lagi.

Perjalanan dan cabaran peserta dalam AirAsia Runway Ready Designer Search 2015 juga boleh disaksikan di saluran YouTube AirAsia dalam bentuk siri episod web. Selain itu terdapat juga di sebalik tabir dan wawancara eksklusif bersama pereka dan hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 9:52 AM