KOLEKSI rekaan peserta dari Malaysia, Ng Yi Xuan.
KOLEKSI rekaan peserta dari Malaysia, Ng Yi Xuan.
KOLEKSI rekaan peserta dari Singapura, Natasya Nadya.
KOLEKSI rekaan peserta dari Singapura, Natasya Nadya.
KEUNIKAN dan keaslian rekaan Anurak menarik minat juri.
KEUNIKAN dan keaslian rekaan Anurak menarik minat juri.
KOLEKSI rekaan Anurak.
KOLEKSI rekaan Anurak.
ANURAK diumumkan sebagai pemenang utama.
ANURAK diumumkan sebagai pemenang utama.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Rekaan fesyen berkonsep sedia dipakai (ready to wear - RTW) yang diilhamkan daripada keindahan Ayutthaya, Thailand membolehkan Anurak Jaidee dinobatkan juara pertandingan AirAsia Runway Ready Designer Search 2016.

Anurak antara 15 bakat muda dari rantau Asean mempamerkan rekaan mereka di pusingan akhir pertandingan itu yang berlangsung di Kuala Lumpur Fashion Week Ready to Wear (KLFWRTW) 2016, baru-baru ini.

Pemilihan rona putih sebagai latar busana dihias indah dengan tampalan applique flora selain perincian fabrik tambahan yang boleh ditanggalkan memberi nilai tambah pada rekaan Anurak sehingga menarik perhatian juri.

Koleksi kapsul yang ditampilkan Anurak membolehkannya membawa pulang hadiah utama dan gelaran AirAsia’s Most Promising Young Designer 2016 yang akan berpeluang mempamerkan koleksi penuhnya pada KLFWRTW tahun depan.

Pelajar dari Universiti Rajabhat Thailand ini juga akan memperoleh khidmat mentor daripada KLFWRTW selama setahun, dana berjumlah RM25,000 tajaan FashionValet bagi menghasilkan koleksi kapsul yang akan dipasarkan di fashionvalet.com, mata ganjaran AirAsia BIG berjumlah 150,000 serta tiket pergi balik penerbangan AirAsia.

Pencarian pereka muda inisiatif AirAsia ini dilanjutkan ke lima negara Asean berikutan kejayaan pada 2015. Pertandingan bertujuan mengetengahkan belia dan membangunkan bakat muda dalam industri fesyen di rantau ini, mengunjungi Jakarta, Manila, Kuala Lumpur, Singapura dan Bangkok dari Mac hingga Jun 2016 untuk mencari bakat muda.

Melalui uji bakat diadakan di setiap bandar, tiga pereka muda dipilih untuk mewakili setiap negara. Seramai 15 finalis mempamerkan rekaan mereka yang berilhamkan Asean KLFWRTW 2016.

Panel hakim bagi pusingan akhir ialah pakar industri fesyen dari lima negara Asean, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar; pengasas KLFWRTW, Andrew Tan dan pengasas bersama FashionValet, Vivy Yusof.

Aireen berkata, AirAsia berbangga membawa peserta dari lima negara ke Kuala Lumpur untuk pusingan terakhir dan amat kagum dengan kualiti rekaan daripada pereka muda ini, sekali gus memperlihatkan kualiti hebat bakat yang boleh ditemui di negara Asean.

“Sepanjang pertandingan ini, peserta diberi peluang untuk menimba ilmu daripada ramai pereka fesyen tersohor dan juga pemilik perniagaan serta rakan media. Kami teruja untuk melihat mereka terus berkembang pada tahun akan datang.

“Kami berada di sini untuk membantu mengetengahkan bakat baru dan berbesar hati sekali lagi bekerjasama dengan KLFWRTW dengan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab fesyen di rantau ini.

“Selain pertandingan ini, AirAsia juga menerbangkan pereka fesyen dari India, China, Korea Selatan dan Australia untuk mengambil bahagian dalam acara fesyen selama seminggu ini,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata, pihaknya teruja berpeluang bekerjasama dengan AirAsia buat kali kedua dan dapat memupuk bakat baru serta memberi peluang kepada pereka muda untuk membentangkan koleksi dan kreativiti pada satu landasan profesional.

“Pertandingan tahun ini lebih mencabar bagi pereka muda fesyen tempatan tetapi saya percaya ini juga peluang keemasan kepada pelajar untuk bertukar idea kreatif dengan rakan mereka,” katanya.

Vivy berkata, kerjasama dengan AirAsia untuk pencarian pereka muda pada tahun ini satu pengalaman yang hebat dan dia berbesar hati menyokong pemenang utama dengan mengeluarkan koleksi kapsul pertama yang boleh didapati di fashionvalet.com.

“FashionValet sentiasa menyokong pereka tempatan dan serantau untuk menghubungkan jenama mereka kepada pengguna yang lebih luas. Kami teruja untuk menyokong seorang lagi bakat muda dalam industri fesyen,” katanya.

Tiga pemenang utama daripada AirAsia Runway Ready Designer Search 2015, Lee Bao En, Shazmin dan Ter Mei Ching turut mempamerkan koleksi penuh mereka di pentas peragaan KLFWRTW, menandakan kemunculan pertama mereka sebagai pereka pada platform sebesar KL Fashion Week.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:03 AM