AIREEN (dua dari kiri), Tan (dua dari kanan) pada AirAsia Runway Ready Designer Search 2015.
AIREEN (dua dari kiri), Tan (dua dari kanan) pada AirAsia Runway Ready Designer Search 2015.

Kuala Lumpur: Air Asia Berhad (AirAsia), akan sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai kumpulan penerbangan tambang rendah itu selari dengan pelan pengembangan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, dasar syarikat ialah akan menerima sesiapa yang berminat untuk menyertai kumpulan dengan syarat mereka mengikut profil dan keperluan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah penstrukturan syarikat penerbangan nasional Malaysian Airlines System (MAS) yang akan menamatkan perkhidmatan 6,000 kakitangannya bagi memulihkan kerugian yang dialaminya.

“AirAsia mengunjurkan lebih 10 peratus peningkatan perolehan dan keuntungan pada tahun ini bersandarkan kepada penambahan bilangan pesawat serta memperkenalkan laluan baru kepada pelanggannya.

“Kami juga merancang untuk memperluaskan rangkaian laluan yang lebih besar dengan menawarkan sekurang-kurangnya tiga laluan baru pada tahun ini,” katanya selepas melancarkan AirAsia Runway Ready Designer Search 2015 di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear, Andrew Tan.

Menurutnya, sebelum ini, AirAsia memperkenalkan laluan baru membabitkan Kuala Lumpur-Pattaya, Thailand; Kuala Lumpur-Pontianak, Indonesia dan Johor-Bangkok, Thailand.

“Banyak lagi laluan baru bakal dilancarkan berikutan kami mempunyai rangkaian dalam kumpulan AirAsia yang dilihat semakin stabil.

“Kumpulan ini juga akan menerima pesawat baru setiap tahun sehingga 2028 membabitkan operasi di Thailand, Indonesia dan Filipina,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 6:40 AM