SENTUHAN mewah, berbeza daripada biasa antara dapat dilihat pada KLFW Ready To Wear.
SENTUHAN mewah, berbeza daripada biasa antara dapat dilihat pada KLFW Ready To Wear.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Membuka mata pe­ngikut fesyen tegar, pementasan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) Ready To Wear sememangnya satu platform yang terbaik bagi peminat fesyen dahagakan idea baru dalam rekaan pakaian daripada pereka tempatan.

Seiring aliran fesyen yang begitu pantas pada hari ini, pementasan fesyen untuk kali ketiga itu menampilkan ramai pereka tempatan yang berani mencuba rekaan baru buat tatapan penonton.

Kehadiran ramai pereka baru dan tersohor sedikit sebanyak memberikan idea segar di dalam perkembangan dunia fesyen pada tahun ini. Di sebalik kehangatan koleksi rekaan yang unik, tidak ketinggalan bagi pereka tersohor Khoon Hooi yang begitu berani mempertaruhkan hasil sentuhan mewah dan berbeza daripada biasa.

Pereka fesyen kelahiran Perak ini memilih motif daun mapel yang ditampal pada bahagian tertentu seperti kocek depan bagi menonjolkan gaya bersahaja dan ringkas.

Gabungan gaya elegan dan fesyen jalanan berjaya menonjolkan penampilan yang seksi dan nakal, tetapi masih mengekalkan sisi feminin buat seorang wanita yang menggayakannya penuh yakin.

Mengenakan stoking dan sandal bersama skirt ringkas, gaun mahupun seluar dan baju top menjadikan penampilan tampak lebih menarik apatah lagi dengan kehadiran tambahan sedikit motif daun mapel.

Kelainan dapat dilihat pada sentuhan dan idea gabungan dua pereka fesyen muda, Fiziwoo. Ternyata mereka lebih berani menampilkan idea segar menggunakan motif abstrak yang berwarna-warni sekali gus menjadikan pentas peragaan bertambah hangat.

Pelbagai jenis potongan dan rekaan yang menarik berjaya ditonjolkan di atas pentas peragaan bersama pilihan alunan irama yang mengikut kesesuaian tema pakaian yang digayakan setiap model.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:01 AM