SESI kongsi pengalaman dan panduan bersama penata gaya Zaini Zain.
SESI kongsi pengalaman dan panduan bersama penata gaya Zaini Zain.
LIEW Suet Yi bersiap sedia untuk penyampaiannya minggu hadapan.
LIEW Suet Yi bersiap sedia untuk penyampaiannya minggu hadapan.
SYAMIL Fazwan cuba ketengah isu pencemaran udara melalui rekaannya.
SYAMIL Fazwan cuba ketengah isu pencemaran udara melalui rekaannya.
SHAZMIN mengenakan rekaannya pada model di sesi muat ukuran.
SHAZMIN mengenakan rekaannya pada model di sesi muat ukuran.

Basyar Mustapha berkesempatan menjenguk pereka muda AirAsia Runway Ready Designer Search 2015 yang bertungkus-lumus menyiapkan rekaan mereka untuk dipertandingkan.

Debaran semakin dirasai 10 bakat muda dunia rekaan fesyen tempatan yang bakal mempamerkan karya masing-masing di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur Ready To Wear (KL Fashion Week RTW) .

Bakal berlangsung pada 16 Ogos ini, finalis Runway ­Ready Designer Search 2015 ini bersedia membawa impian mereka menjadi realiti dan terus mengorak langkah dalam industri kreatif ini.

Pertandingan yang diadakan buat kali pertama ini memerlukan finalis yang mereka pakaian berlandaskan konsep Destinasi ASEAN.

Finalis Syamil Fazwan, 23, berkata konsep diberi sebagai satu peluang untuknya meningkatkan kesedaran mengenai pencemaran alam yang berlaku di Asia Tenggara terutama kejadian jerebu.

“Sememangnya kita dia Asia Tenggara bertuah memiliki landskap dan cuaca yang menarik, namun ia tidak bererti jika kita tidak menjaganya.

“Fenomena jerebu yang disebabkan oleh kepincangan manusia sendiri seakan-akan mencacatkan keistimewaan semula jadi kita dan ia akan memberi kesan buruk terutama pada kesihatan dan sektor pelancongan.

“Saya berharap dengan membangkitkan isu ini di pentas fesyen, ia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai,” kata Syamil yang juga pelajar jurusan seni rekaan fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Pelajar bidang rekaan kreatif dari The One Academy, Liew Suet Yi, 20, mengangkat keindahan seni bina bangunan di Singapura sebagai inspirasi yang ingin diketengahkan.

“Asia Tenggara mempunyai seni bina yang menarik dan menjadi saksi pertembungan seni bina moden dan kolonial.

“Ia memberi inspirasi kepada saya dalam mereka pakaian yang boleh digayakan dalam kehidupan seharian sesuai dengan konsep sedia pakai dalam pertandingan ini,” katanya.

Shazmin Zainal, 23, yang juga pelajar jurusan rekaan fesyen UiTM Shah Alam memilih isu penebangan pokok tidak terkawal dalam penyampaiannya untuk pertandingan ini.

“Kita dianugerahkan persekitaran hijau yang subur dan boleh dikatakan bertuah, namun sayangnya kita tidak menjaganya dengan baik.

“Ia dapat dilihat melalui aktiviti penebangan pokok yang berleluasa di atas nama pembangunan.

“Melalui pentas peragaan, saya ingin mengetengahkan isu berpanjangan ini melalui teknik lakaran bebas atas pakaian yang disesuaikan dengan konsep sedia pakai,” katanya.

Pengasas KL Fashion Week RTW dan penasihat pertandingan Andrew Tan, berkata anak muda kini terutama peserta bertuah kerana mempunyai peluang keemasan menerusi pertandingan ini.

“Pertandingan dianjurkan AirAsia dengan kerjasama KL Fashion Week RTW ini memberi peluang untuk mereka mengetengahkan bakat masing-masing ke pentas tinggi.

“Kolaborasi dengan KL Fashion Week RTW memberi mereka satu platform untuk mengetahui selok belok dunia fesyen sebenar dan bagaimana untuk bertapak dalam dunia fesyen dengan lebih realistik,” katanya.

Tan berharap melalui pertandingan ini, peserta dan pereka muda di luar sana lebih faham mengenai dunia fesyen sebenar hari ini.

“Mereka perlu tahu survival dalam dunia rekaan fesyen.

“Penekanan terhadap koleksi sedia pakai dalam pertandingan ini adalah sangat relevan dengan dunia fesyen hari ini,” katanya.

Finalis juga berpeluang meluangkan masa bersama penata gaya Zaini Zain yang sempat berkongsi pengalaman dan panduan dalam dunia seni rekaan fesyen tanah air.

Tiga pereka terbaik akan diumumkan pada akhir pencarian ini dan bakal memegang gelaran ‘AirAsia Most Promising Designer 2015’, bersama hadiah lain termasuk piala, tiket pergi balik ke Tokyo, Sydney dan Hong Kong, sehingga 60,000 AirAsia BIG Points setiap satu, dan komputer riba.

Malah pemenang peluang mempersembahkan koleksi penuh mereka pada KL Fashion Week RTW tahun hadapan dan peluang menjadi sebahagian dari Minggu Fesyen lain di rantau ini selain beberapa ganjaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 9:30 AM