AIREEN bersama pemenang AARRDS 2018.
AIREEN bersama pemenang AARRDS 2018.
Intan Mas Ayu Shahimi

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia baru-baru ini meraikan 10 pereka fesyen muda ASEAN di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2018.

Mereka antara individu bertuah yang kini giat membina karier dalam industri fesyen dan terus melonjak naik selepas menyertai Pencarian AirAsia Runway Ready Designer (AARRDS).

Lebih 30 rekaan menarik daripada jenama mereka sendiri antaranya KAVA (Brunei), KONG (Kemboja), Shella Merina Personal Designs (Indonesia), Billy L’amour de Ma Vie (Laos), Phyn Studio (Malaysia), Glam Mabel (Myanmar), Paraluman by Bea Samson (Filipina), SILVU (Singapura), Arataweekend (Thailand) dan Tu Bong (Vietnam).

Kemuncak pertunjukan itu menampilkan 16 rekaan unik koleksi The Women of Illusion rekaan pereka muda dari Hanoi, Vietnam, Tran Thi Tu.

Wanita berusia 25 tahun ini pernah mencuri perhatian juri dan tetamu apabila diumumkan pemenang AARRDS 2017 sempena KLFW tahun lalu.

Sejak itu, dia berjaya melakar perjalanannya dalam industri fesyen Vietnam dan mendapat perhatian media tempatan serta dijemput menghadiri pelbagai program fesyen di saluran televisyen nasional. Lebih daripada itu, kejayaan Tran terus berkembang apabila koleksi kapsulnya akan dijual di laman beli-belah dalam talian di Malaysia tidak lama lagi.

KOLEKSI rekaan Daphne Lim yang diumumkan sebagai pemenang utama.
KOLEKSI rekaan Daphne Lim yang diumumkan sebagai pemenang utama.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia - Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat Aireen Omar berkata, negara ASEAN bukan sekadar rantau yang mempunyai pelbagai destinasi menarik, malah memiliki ramai bakat menyerlah.

“Sejak tiga tahun lalu, AARRDS sudah menjadi platform utama bagi pereka ASEAN untuk melancarkan karier di dalam industri fesyen di rantau ini.

“Pentas ini membuka peluang kepada mereka untuk merealisasikan impian, menimba pengalaman berharga, mempelajari selok-belok e-dagang dan menguasai ilmu pemasaran digital daripada rakan industri fesyen kami.

“Kami berharap kejayaan pereka ini akan terus memberi inspirasi kepada bakat muda di seluruh rantau ASEAN untuk melebarkan sayap mereka dan terbang lebih tinggi,” katanya.

Meneruskan pencarian baru tahun ini, AirAsia menampilkan lima lagi finalis berbakat antaranya Kelly Lee Kah Shin dari Kolej Equator, Pulau Pinang, Lau Zhong Xun (Kolej Raffles), Tan Win Shean (Esmod Kuala Lumpur), Daphne Lim Wen Sin (SML Fashion Academy) dan Kristopher Toon (Saito University College).

AARRDS berakhir dengan Daphne Lim diumumkan sebagai pemenang utama. Dia membawa pulang 150,000 mata ganjaran BIG AirAsia, wang tunai RM25,000 tajaan FashionValet untuk menghasilkan koleksi kapsul, penampilan dalam majalah AirAsia Travel360, telefon pintar Huawei Nova 3I3i, sesi mentor pasukan KLFW dan slot untuk mempamerkan koleksi penuh pada KLFW 2019.

DAPHNE bersama model yang menyarung rekaannya di pentas KLFW 2018.
DAPHNE bersama model yang menyarung rekaannya di pentas KLFW 2018.

Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Zhong Xun serta Win Shean. Kedua-duanya menerima kontrak untuk mereka koleksi pakaian bagi jenama Infinence dan telefon pintar Huawei Nova 3I3i.

Pengasas KLFW Andrew Tan berkata, pihaknya menghargai sokongan diberikan AirAsia sejak empat tahun lalu, khususnya dalam membawa rekaan yang dipentaskan ke pelbagai lokasi berbeza.

“Semua pereka muda dinilai secara berterusan berdasarkan kreativiti rekaan, keaslian, ketekalan koleksi, rekaan bertemakan Asean, rekaan praktikal serta potensi persembahan rekaan,” katanya.

REKAAN milik Zhong Xun yang dinobat tempat kedua.
REKAAN milik Zhong Xun yang dinobat tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 3:54 PM