AKSI Carlos Alcaraz ketika bertemu Alexander Shevchenko. FOTO AFP
AKSI Carlos Alcaraz ketika bertemu Alexander Shevchenko. FOTO AFP
AFP

Madrid: Juara bertahan Terbuka Madrid, Carlos Alcaraz dan Aryna Sabalenka kedua-duanya menang dalam aksi pembukaan untuk mara ke pusingan ketiga.

Alcaraz yang kembali selepas sebulan berehat untuk misi mempertahankan gelaran bergandanya, meraih kemenangan meyakinkan 6-2, 6-1 ke atas Alexander Shevchenko, manakala Aryna mengatasi Magda Linette 6-4, 3-6, 6-3.

Pemain nombor tiga dunia, Alcaraz menyinar di halaman sendiri selepas masalah lengan yang menyebabkannya menarik diri di Monte Carlo Masters dan Terbuka Barcelona.

"Ia adalah bulan yang agak sukar bagi saya dan segala ketidakpastian bila saya akan kembali," kata Alcaraz.

"Perkara utama hari ini adalah untuk melihat situasi diri saya pada perlawanan yang sukar.

"Perasaan sangat baik, dan saya fikir saya bermain pada tahap yang sangat baik. Saya sangat gembira dan ia adalah satu keseronokan untuk bermain di sini di Madrid sekali lagi," katanya lagi.

Alcaraz akan menentang Thiago Seyboth Wild pada pusingan ketiga selepas pemain Brazil itu mengejutkan Lorenzo Musetti 6-4, 6-4.

Sementara itu, Aryna berkata dia tidak dapat mengawal emosinya pada set kedua yang menyebabkan Magda menenangi set itu.

"Kami kemudian beraksi di set ketiga, dan saya gembira kerana dapat menamatkan perlawanan ini dengan kemenangan," kata Aryna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 10:27 AM