PEMENANG pertandingan Air Asia Runway Ready Designer Search 2016, Anuruq Jaidee dari Thailand (empat kanan) bersama Aireen  (empat kiri), Andrew Tan (tiga kiri) dan  Viviy Yusof (dua kiri) di pertandingan Air Asia Runway Ready Designer Search 2016.
PEMENANG pertandingan Air Asia Runway Ready Designer Search 2016, Anuruq Jaidee dari Thailand (empat kanan) bersama Aireen (empat kiri), Andrew Tan (tiga kiri) dan Viviy Yusof (dua kiri) di pertandingan Air Asia Runway Ready Designer Search 2016.

Kuala Lumpur: AirAsia Berhad (AirAsia), menampilkan 15 bakat muda dari seluruh rantau ASEAN bagi mempertandingkan rekaan fesyen masing-masing dalam pusingan akhir AirAsia Runway Ready Designer yang berlangsung sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur Pakaian Sedia Dipakai (KLFWRTW) 2016 bagi merebut hadiah utama sebanyak RM350,000.

Pertandingan itu yang bertujuan mengetengahkan golongan belia serta membangunkan bakat muda dalam industri fesyen telah menjelajah ke Jakarta, Indonesia; Manila, Filipina, Kuala Lumpur; Malaysia; Bangkok, Thailand dan Singapura mencari bakat baru.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar berkata, pihaknya begitu berbangga dapat membawakan semua finalis ini berentap di Kuala Lumpur kerana begitu kagum dengan rekaan pereka muda rantau ASEAN itu.

Beliau berkata, sepanjang pertandingan semua peserta berpeluang mendapatkan perkongsian pengalaman daripada pereka fesyen tersohor tempatan dan antarabangsa selain mendapat pendedahan pemilik perniagaan dan media.

“Kami berada di sini untuk membantu mengembangkan bakat baru dan berbesar hati bekerjasama dengan KLFWRTW sekali gus dapat menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab fesyen rantau ini.

“Malah, AirAsia turut menerbangkan pereka fesyen dari India, China, Korea Selatan dan Australia untuk mengambil bahagian dalam acara fesyen selama seminggu ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Antara barisan panel hakim bagi pusingan akhir adalah pakar industri fesyen dari lima buah negara ASEAN serta Pengasas KLFWRTW 2016, Andrew Tan; Pengasas Bersama Fashion Valet, Vivy Yusof dan Aireen sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:16 AM