AMIRRAH Yuhanna (kanan) dan Nik Siti Zubaidah.
AMIRRAH Yuhanna (kanan) dan Nik Siti Zubaidah.
ROMEO rekaan yang sesuai digayakan golongan muda yang sukakan kelainan.
ROMEO rekaan yang sesuai digayakan golongan muda yang sukakan kelainan.
CAT Maxi hasil gabungan idea dua sahabat ini.
CAT Maxi hasil gabungan idea dua sahabat ini.
NIK Siti Zubaidah tekun melakar rekaan terbaru mereka.
NIK Siti Zubaidah tekun melakar rekaan terbaru mereka.
AMIRRAH Yuhanna dan Nik Siti Zubaidah (tengah) bersama model yang memperagakan pakaian rekaan mereka.
AMIRRAH Yuhanna dan Nik Siti Zubaidah (tengah) bersama model yang memperagakan pakaian rekaan mereka.
Fatin Farhana Japre


Dua gadis, Amirrah Yuhanna Bakri, 27, dan Nik Siti Zubaidah Sahar, 24, berjaya merealisasikan impian bergelar pereka fesyen pada usia muda apabila diberi kepercayaan memperagakan koleksi pakaian rekaan mereka di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2016, baru-baru ini.

Mengetengahkan kepelbagaian ekspresi emosi seperti perasaan marah, sedih dan kecewa pada rekaan mereka, dua gadis muda ini memberi kelainan kepada peminat fesyen terutama remaja yang sukakan gaya unik.

Pertemuan sebagai teman serumah semasa menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak dan persamaan minat menghasilkan rekaan unik ini menyebabkan Amirrah Yuhanna dan Nik Siti Zubaidah bekerjasama melangkah lebih jauh dalam dunia fesyen.

Menurut Amirrah Yuhanna, remaja hari ini suka kelainan dalam fesyen dan langkah berani diambil meskipun tahu ia perlukan masa untuk rekaan mereka diterima ramai.

“Kami bergabung idea menghasilkan rekaan berunsur ekspresi emosi dan menjualnya secara dalam talian di Instagram (zsaykl) sejak bergelar siswi. Saya akui tidak semua berani menggayakan rekaan kami tetapi setakat ini remaja Cina sangat sukakannya.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya model akan memperagakan pakaian rekaan kami pada acara berprestij sehinggalah Nik Siti Zubaidah menyuarakan hasratnya akhir tahun lalu untuk mencuba nasib ketengahkan rekaan kami ini di Kuala Lumpur Fashion Week 2016.

“Kami sendiri tidak me­nyangka mendapat kepercayaan daripada pengasas KLFW, Andrew Tan untuk kami ketengahkan 18 pasang pakaian rekaan di Pavilion, Kuala Lumpur pada Ogos lalu. Itu pun kami perlu melalui tiga fasa untuk menonjolkan bakat dan melayakkan diri,” kata pemegang Diploma Seni Reka dan Lukis (Fe­syen) UiTM Seri Iskandar, Perak ini.

Nik Siti Zubaidah berkata, rekaan mereka berkonsep ‘doodle’ dan ‘ready to wear’.

Menariknya semua pakaian rekaan mereka bersaiz besar dan boleh digayakan lelaki mahupun remaja perempuan terutama Muslimah yang gemar berfesyen.

“Sekarang pakaian bersaiz besar menjadi trend di negara kita. Sebenarnya, kami mendapat inspirasi untuk ketengahkan rekaan ini daripada stail fesyen Harajuku di Jepun.

“Namun ekspresi rekaan kami berbeza kerana fesyen Harajuku berunsur ekspresi karakter kartun. Kami pula ekspresikan emosi diri kami sebagai remaja pada setiap pakaian rekaan.

“Dari segi material kain, kami menggunakan ‘yellow line’, ‘dull satin’ dan ‘heavy lycra’ kerana rekaan pada pakaian dicetak menggunakan pencetakan digital. Semuanya serap peluh dan pemakai tidak akan berasa panas. Harga sepasang pakaian serendah RM100 dan ke atas mengikut rekaan dan jenis material.

“Kami bukan saja berbakat dalam mereka pakaian bahkan seluar, jaket, kemeja-T, topi dan beg. Dalam masa terdekat kami akan membuka tempahan kepada sesiapa yang berminat dengan fesyen unik Zsaykl.

“Kini kami ada 24 rekaan seperti Cat Maxi dan Orange Splash. Kami sasarkan remaja yang berani tampil berbeza dengan fesyen ini dan berharap berjaya membawa fenomena fesyen baru di Malaysia. Jika di Jepun, pakaian rekaan sebegini sudah biasa sebab itu kami nak beri kelainan kepada remaja Malaysia yang berani berfesyen,” kata pemegang Ijazah Seni Reka dan Lukis (Fesyen) UiTM, Shah Alam ini.

Amirrah Yuhanna dan Nik Siti Zubaidah belum mempunyai butik sendiri dan aktif menjalankan perniagaan secara dalam talian. Namun mereka bercita-cita mengukuhkan nama dalam dunia fesyen dan membuka butik sendiri dalam masa lima tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:41 AM