Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pentas sudah tersedia buat Pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) untuk bergelar juara Liga FAM susulan aksi mantap yang diperagakan kelab itu musim ini.

Dengan memimpin carta kumpulan B sejak awal musim, skuad kendalian bekas jurulatih bola sepak wanita kebangsaan Jacob Joseph semakin hampir untuk mencipta sejarah layak beraksi ke Liga Perdana musim hadapan.

Bagaimanapun, pasukan di tangga kedua Melaka United (MU) dilihat berupaya menghalang hajat skuad ‘The Indians’ itu dengan hanya dibezakan tiga mata di belakang pendahulu itu.

Justeru Jacob meningatkan anak buahnya supaya fokus dalam aksi berikutnya tanpa menghilangkan sebarang mata jika berhasrat untuk melangkah ke saingan divisyen dua.

Katanya, sebarang tekanan untuk mempertahankan kedudukan di puncak liga itu tidak timbul kerana beliau yakin kemampuan pasukannya yang dibarisi ramai tonggak berpengalaman seperti K Nanthakumar dan Razali Umar Kandasamy.

“Saya yakin dengan keupayaan pasukan yang sudah berusaha bersungguh-sungguh dengan menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang musim ini, kami berupaya meraih sesuatu di atas usaha mereka.

“Setakat ini prestasi pemain cukup memuaskan. Mereka berhak untuk berada di kedudukan sekarang,” katanya kepada Arena Metro.

Keampuhan jentera serangan MISC-MIFA tidak boleh dipertikaikan dengan rekod 22 jaringan dalam 13 aksi setakat ini menggambarkan betapa rangkaian penyerang pasukan itu amat bernafsu.

“Sekali lagi harapan tinggi diletakkan di bahu penyerang kami untuk meledakkan jaringan sekali gus meraih kemenangan.

“ Saya yakin bukan mustahil bagi kami mencipta kejutan kerana dalam bola sepak apa jua boleh berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:02 AM