PEMAIN MISC-MIFA dapat angin baru.
PEMAIN MISC-MIFA dapat angin baru.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas mengharungi enam aksi dalam saingan Liga FAM setakat ini, pasukan berstatus underdog MISC-MIFA kini gah memimpin carta Kumpulan B dengan 15 mata hasil daripada lima kemenangan yang diraih.

Hampir melakukan kejutan dalam kempen Piala FA sebelum tewas tipis 1-2 ditangan juara bertahan Pahang pada pusingan kedua bulan lalu, skuad bimbingan Jacob Joseph seolah-olah mendapat angin baru apabila tampil penuh bergaya melakar empat kemenangan berturut-turut bermula dengan membenam Harimau Muda C (3-2), Melaka United (2-0), MOF FC (2-1) dan sekali lagi menewaskan Harimau Muda C (4-2).

Walaupun masih terlalu awal untuk membuat ramalan mengenai kemampuan skuad yang mendapat jolokan ‘The Indian’ itu, keputusan cemerlang dalam beberapa aksi sebelum ini harus menerbitkan keyakinan bahawa cabaran MISC-MIFA kali ini tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pasukan lain.

Begitupun, pengurusnya J Dhinagaran (gambar), belum mahu berasa selesa dengan apa yang diraih setakat ini, sebaliknya memilih untuk merendah diri biarpun kini mendahului pencabar lain dalam carta liga.

“Kami masih perlu bekerja keras dan banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki. Ini bukan masa menjulang nama mana-mana pemain atau jurulatih, sebaliknya kami harus melipat gandakan kerana perjalanan liga bagi saya masih jauh dan pasukan lain juga tidak kurang hebatnya,” katanya yang sudah dua musim bersama pasukan berpangkalan di Sungai Petani, Kedah itu.

Menurutnya, pasukan mana pun boleh muncul juara jika terus mempamerkan rentak permainan konsisten disamping semangat dan disiplin tinggi sepanjang mengharungi saingan liga.

Atas kertas, pasukan tumpuan sudah pastinya Melaka United yang dibarisi ramai pemain hebat selain Perlis, Real Mulia, Kedah United dan AirAsia Allstars.

“Pada mulanya kami hanya menyasarkan mahu menamatkan kedudukan di tiga kelompok terbaik apabila tamat saingan liga nanti.

“Tetapi selepas melihatkan aksi bertenaga pemain dan kesungguhan mereka yang mahu meraih kejayaan, saya optimis pasukan kami berpotensi untuk melangkah ke aksi final bertemu juara kumpulan A sekaligus cuba mendakap piala.

“Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, kami lebih selesa jika dilabel sebagai pasukan underdog kerana berdasarkan kepada pengalaman, pemain kadang kala mudah leka apabila terlalu yakin,” katanya.

MISC-MIFA yang turut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman seperti bekas pemain Perak dan kebangsaan K Nanthakumar yang diangkat selaku kapten pasukan, disamping sentuhan berbisa dimiliki Muhd Fauzi Abdul Kadar dilihat antara watak penting dalam kebangkitan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:09 AM