NG Tak Sing. FOTO KESATUAN OLAHRAGA MALAYSIA
NG Tak Sing. FOTO KESATUAN OLAHRAGA MALAYSIA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas pelari muda negara, Pengiran Aidil Auf Hajam berjaya menempah slot ke Kejohanan Remaja Dunia di Lima, Peru, kini tiba giliran atlet lompat kijang, Ng Tak Sing pula mengikut jejak langkah sama.

Tak Sing berjaya melepasi melepasi had kelayakan 15.50 meter (m) yang ditetapkan Olahraga Dunia ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Asia Bawah 20 tahun (B-20) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Dia berjaya meraih gangsa yang juga pingat pertama buat Malaysia selepas melakukan lompatan 15.62m pada percubaan ketiga sekali gus mencatat catatan peribadi terbaik.

Dia memulakan lompatan dengan melakukan catatan 14.53m, sebelum memperbaikinya pada percubaan kedua 14.97m, sebelum melakukan layangan badan cemerlang di aksi ketiga.

Catatannya mula menurun dengan hanya melakukan 15.39m pada percubaan keempat, diikuti 15.18m di lompatan kelima.

Pingat emas diraih atlet China Hetong Xu hasil lompatan 15.85m, manakala wakil Arab Saudi, Sami Mousa Bahkeet meraih perak dengan catatan 15.71m.

Catatan peribadi terbaik atlet kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini ialah 15.43m.

Aidil terlebih dahulu mengesahkan tempat lebih awal ke Peru apabila tampil cemerlang dalam acara 200m di Dubai semalam dengan mencatat masa terbaiknya 21.33 saat (s) sekali gus melepasi kelayakan ditetapkan Olahraga Dunia.

Dia melakukan catatan terbaik pada aksi separuh akhir sekali gus melepasi had kelayakan 21.35s yang ditetapkan dan lebih manis dia juga turut memadam catatan masa peribadi terbaik 200m 21.36s sewaktu di Terbuka Singapura tahun lalu.

Aidil ketika ini dalam persiapan untuk turun memburu podium pada aksi final 200m kira-kira jam 11.40 malam ini waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 9:46 PM