KAPTEN PKNP  Fadzli Zulkifli (kanan) bersama Nanthakumar menunjukkan Piala FAM 2016.
KAPTEN PKNP Fadzli Zulkifli (kanan) bersama Nanthakumar menunjukkan Piala FAM 2016.

Ipoh: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) masing-masing sudah bersedia untuk membuat perhitungan final kedua Piala FAM 2016 di Stadium Perak, malam ini.

Turun dengan misi merangkul gelaran juara, kedua-dua pasukan bertekad memberi aksi terbaik sekali gus menjanjikan pertarungan sengit dan menarik.

Setakat ini MISC-MIFA memiliki sedikit kelebihan hasil kemenangan 1-0 pada final pertama di Stadium Shah Alam, 20 Oktober lalu.

Dalam sidang akhbar pra-perlawanan final itu jurulatih MISC-MIFA, J Jacob berkata beliau sedar akan hakikat laluan berliku menanti anak buahnya.

“Saya sudah mengingatkan pemain supaya tidak leka dan dibuai mimpi indah.

“PKNP pasukan yang kuat dan kami kena tumpu sepenuh perhatian terhadap perlawanan,” katanya yang akan turun tanpa tanpa kapten asal (K Premanathan) dengan tugas itu diambil alih K Nanthakumar.

Sementara jurulatih PKNP Abu Bakar Fadzim sudah membuat kerja rumah bagi menyediakan pasukan ampuh untuk menghadapi perlawanan penentuan ini.

Katanya usaha memantapkan pasukan dilakukan selepas pertemuan pertama itu.

Menurut Abu Bakar keinginan PKNP untuk menjulang piala itu cukup tinggi dan pemain menjanjikan aksi terbaik malam ini.

Bakar yakin anak buah tidak bersedia rekod tanpa kalah mereka di tempat sendiri setakat ini lebur di tangan MIFA.

“Demi maruah dan imej Perak, datanglah dan beri sokongan agar kami beroleh kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 8:46 AM