Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: “Seperti langit dengan bumi.” Itu ungkapan bersahaja pengendali Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) Jacob Joseph menjelang aksi pusingan ketiga saingan Piala FA yang juga juara bertahan musim lalu, Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Bukan mahu menidakkan keupayaan pemainnya, tetapi itulah realiti yang diakui Jacob dengan mengharapkan agar barisan pemainnya tidak mudah gentar apabila beraksi di depan ribuan penyokong tuan rumah.

“Saya sudah menonton aksi Pahang dalam Piala AFC dan nampaknya mereka merehatkan lima pemain utama bagi menghadapi kami. Itu menunjukkan yang mereka juga serius untuk mempertahankan Piala FA.

“Kami tidak akan bermain dengan gaya bertahan. Saya mahu pemain bermain seperti biasa dengan melakukan serangan ke kubu lawan.

“Anda tidak akan dapat bertahan dengan baik selama 90 minit terutama ketika berjumpa dengan Pahang yang mempunyai pemain cukup berpengalaman. Kecuali berbaki 10 minit sebelum tamat, mungkin strategi bertahan itu boleh digunakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:59 AM