Petaling Jaya: Pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) mensasarkan untuk menamatkan cabaran dalam kelompok tiga teratas saingan Piala FAM tahun ini.

Beraksi untuk tahun kedua pada kejohanan itu, Presiden Datuk T Mohan yakin mereka mampu mencapai matlamat itu musim ini.

“Kali ini kami mempunyai beberapa pemain senior berpengalaman dan remaja dalam pasukan.

“Saya yakin kami boleh mencapai keputusan lebih baik tahun ini,” katanya pada majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi MISC-MIFA 2015 semalam.

MISC-MIFA hanya menduduki tempat kesembilan daripada 12 pasukan pada saingan Piala FAM musim lalu, selepas mengutip 23 mata.

Sementara itu, jurulatih yang baru dilantik Jacob Joseph berkata, beliau mensasarkan pasukan berkenaan layak beraksi dalam saingan Liga Perdana tahun depan.

Hanya juara Piala FAM layak beraksi dalam kempen Liga Perdana.

MISC-MIFA diundi dalam Kumpulan B pada saingan Piala FAM musim ini, bersama AirAsia Allstars, Harimau Muda C, Johor DT III, PB Ipoh, PB Melayu Kedah, Melaka United, MOF dan Young Fighters.

Sementara itu, FELCRA, Megah Murni, Hanelang, PBAPP, Penjara, Perlis, Real Mulia, Shahzan Muda, Sungai Ara dan UKM diletakkan dalam Kumpulan A.

Pelancaran jersi baru pasukan disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:08 AM