DIMTRI (dua dari kiri) ledak empat gol.
DIMTRI (dua dari kiri) ledak empat gol.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) Jacob Joseph jelas tergamam sebaik pengadil perlawanan Zulkifli Ahmad menamatkan aksi 90 minit di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya apabila anak buahnya mengejutkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 5-3, semalam.

Aksi yang diibaratkan ‘langit dan bumi’ itu menyaksikan skuad kendalian Jacob turut memungut tiga mata pertama selepas tewas dalam kesemua aksi awal Liga Perdana itu memperbaiki kedudukan mereka.

Menurut Jacob, beliau amat berterima kasih dengan aksi cemerlang ditampilkan penyerang Cameron Bodric Dimtri yang meledak empat gol dalam aksi itu.

“Pastinya saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana pada awalnya hanya menjangkakan mampu seri saja tapi sebaliknya berlaku apabila menang.

“Lebih membanggakan saya adalah pemain memberikan aksi 120 peratus dalam perlawanan ini walaupun pada 35 minit pertama kami sudah ketinggalan 0-2, namun semangat tidak berputus asa semua pemain membuahkan hasil positif.

“Saya terpaksa mengambil risiko dengan menukar strategi kepada serangan dan ternyata ia berhasil. Kemasukkan Dimtri jelas mengubahkan rentak permainan. Selepas tiga aksi tanpa gol, kali ini dia menunjukkan ketajaman sebenar dengan menjaringkan empat gol.

“Saya harap dia mampu meneruskan rentak cemerlang ini supaya kami meraih lebih banyak kemenangan,” katanya selepas aksi sengit kedua-dua pasukan itu.

Dalam aksi petang semalam itu, pelawat terlebih dulu mendahului 2-0 pada setengah jam awal babak pertama menerusi sentuhan Nicholas Fernandez pada minit ke-18 dan Rozaimi Abd Rahman m-33.

Bagaimanapun, tuan rumah bangkit mengikat kedudukan 2-2 melalui jaringan Dimtri pada minit ke-40 dan penyerang Nigeria Michael Ljezie seminit sebelum rehat.

Dimtri terus menjadi duri dalam daging apabila merobek gawang pelawat empat minit selepas aksi babak kedua bersambung namun kedudukan kembali terikat hasil sepakan penalti yang disempurnakan Fernandez pada minit 68.

MISC-MIFA yang memburu tiga mata penuh meledakkan dua lagi gol pada minit ke-77 dan 90 dengan Dimitri muncul wira pasukan untuk menghadiahkan kemenangan pertama musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 8:47 AM