PEMAIN PDRM, Masyita Mohd Tajib (kiri) mengasak penjaga gol ATM Roszaini Bakar dalam perlawanan, semalam.
PEMAIN PDRM, Masyita Mohd Tajib (kiri) mengasak penjaga gol ATM Roszaini Bakar dalam perlawanan, semalam.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Mempertaruhkan formasi baru 4-4-2 berbanding 5-4-1 ketika aksi pertama menyaksikan juara tiga kali Polis Diraja Malaysia (PDRM) bangkit melakar kemenangan apabila mudah menumbangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-0 dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah di Padang A, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Hasil kemenangan itu, skuad kendalian Omar Hamzah kembali menghidupkan semula harapan melangkah ke separuh akhir selepas tewas tipis di tangan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) 0-1 pada aksi kelmarin.

“Saya melakukan beberapa perubahan terutama di bahagian pertahanan dan serangan dengan menggunakan formasi 4-4-2.

“Kami sedar bertemu mereka (MISC-MIFA) sebelum ini umpama pasukan kebangsaan wanita negara sebab itu kami bermain lebih bertahan.

“Tapi hari ini (semalam) saya letak dua penyerang dengan menekankan aspek menyerang untuk memburu jaringan,” katanya.

Dalam aksi yang dikuasai sepenuhnya The Cops itu, gawang ATM berjaya dirobek menerusi jaringan Nor Hafizah Mohiden, Malini Nordin, Nor Azlinda Abidin (gol sendiri) dan Angela Kais.

Dalam satu lagi perlawanan, pencabar kejuaraan MISC-MIFA meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Perak 9-0 untuk mengungguli carta kumpulan B dengan enam mata maksimum.

Saingan Kumpulan A pula menyaksikan Sabah turut meraih kemenangan kedua dengan menumpaskan Pulau Pinang 7-0 manakala Selangor dan Sarawak sekadar memungut satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 9:57 AM