KHAIRULNIZAM bakal buat penampilan kali keempat di Sukan Olimpik. FOTO Ihsan Sailing Energy
KHAIRULNIZAM bakal buat penampilan kali keempat di Sukan Olimpik. FOTO Ihsan Sailing Energy
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Afendy sah layak beraksi di Sukan Olimpik Paris selepas menduduki tempat ketiga Last Chance Regatta bagi kelas Single-Handed Dinghy ILCA 7 lelaki di Perancis.

Dia menjadi atlet ke-10 negara bakal mengambil bahagian di temasya berkenaan dan yang kedua bagi sukan pelayaran selepas Nur Shazrin Latif.

Menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ia adalah kali keempat berturut-turut atlet berusia 31 tahun itu berjaya melayakkan diri ke temasya berkenaan.

"Dalam peluang terakhir Khairulnizam untuk menempah tempat ke Paris 2024, dia memperoleh slot hasil menduduki tempat ketiga di Last Chance Regatta 2024 di Hyeres, Perancis, bagi saingan Single-Handed Dinghy ILCA 7 lelaki," kata MOM di akaun media sosial, Facebook.

Atlet kelahiran Kedah itu mengumpul 63 mata selepas di hujung aksi 10 perlumbaan yang sedang berlangsung.

Juara Sukan Asia, Ha Jee Min dari Korea Selatan juga memperoleh penampilan Olimpik keempat selepas terikat di kedudukan pertama dengan wakil Estonia, Karl Martin Rammo dengan 43 mata.

Masih ada lagi perlumbaan pingat untuk merebut 10 kedudukan teratas tetapi Khairulnizam sudah mengesahkan slot daripada baki empat tempat terakhir yang dipertaruhkan untuk kelas ICLA7 (dahulunya kelas Laser) di Paris 2024.

Khairulnizam beraksi kali pertama di temasya berkenaan pada London 2012, diikuti Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 8:50 PM