BADLISHAM (kiri)  menyampaikan cenderamata kepada wakil jabatan kerajaan yang hadir di Majlis Ulangtahun ke-17  KLIA.
BADLISHAM (kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil jabatan kerajaan yang hadir di Majlis Ulangtahun ke-17 KLIA.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan mengkaji semula sasaran jumlah penumpang yang ditetapkan untuk tahun ini memandangkan pertumbuhan yang dicatatkan menunjukkan impak positif.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, mengikut sasaran awal, pihaknya menjangkakan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Klia2 mencapai 85.5 juta.

“Jumlah penumpang yang berkunjung ke Malaysia terus meningkat dengan kira-kira 100 peratus peningkatan pada bulan lalu dan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, pergerakan penumpang menunjukkan angka positif dengan jumlah 20.1 juta.

“Kami menjangkakan untuk meletakkan sasaran baru berdasarkan trend semasa dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya selepas pelancaran ulang tahun ke-17 KLIA di sini, semalam.

Pada tahun lalu, MAHB mencatatkan pertumbuhan jumlah penumpang sebanyak 3.0 peratus kepada 48.9 juta penumpang.

Menurutnya, kadar pertumbuhan didorong oleh permintaan penumpang dan kejatuhan nilai ringgit ternyata memberi kesan tidak langsung kepada industri penerbangan.

“Malah, MAHB juga dalam usaha menambah syarikat penerbangan khususnya dari China untuk beroperasi di KLIA dan Klia2,” katanya.

Turkmenistan Airlines dan British Airways antara syarikat penerbangan yang baru memulakan operasi di KLIA tahun ini dan All Nippon Airways akan memulakan operasi September ini.

Sementara itu, sempena meraikan ulang tahun ke-17 KLIA, MAHB memberikan penghargaan kepada lima penumpang domestik dan antarabangsa kedua-dua terminal dengan kategori keseluruhan adalah penumpang ke-466 juta di KLIA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 12:49 PM