Hazwan Faisal Mohamad


Subang: Satu lagi terminal baru dijangka dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh lima tahun lagi yang mungkin dikenali sebagai KLIA3.

Ia akan dibina bagi meningkatkan kapasiti terminal sedia ada yang semakin mencapai kemuncak.

Ketika ini, terminal sedia iaitu KLIA dan klia2 mampu menampung 75 juta penumpang setahun dan tahun lalu, kedua-dua lapangan terbang sudah mengendalikan 59 juta penumpang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata, rancangan pembinaan terminal berkenaan bagaimanapun masih dalam perbincangan di antara pihaknya dan kerajaan.

Katanya, sementara menunggu keputusan itu dibuat, MAHB akan menambah pelaburan bagi meningkatkan keupayaan sistem pengurusan bagasi di terminal sedia ada.

“Pelaburan ini mampu menambah sehingga lima juta kapasiti penumpang dalam setahun bagi menampung pertambahan bilangan penumpang setiap tahun di kedua-dua terminal sedia ada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah pembinaan kilang Senior Aerospace di Subang Aerotech park di sini, semalam.

Mengulas mengenai keperluan membina landasan keempat di KLIA, Badlisham berkata, biarpun mengikut pelan induk KLIA terdapat empat landasan namun tiada keperluan buat masa sekarang untuk menambah landasan baru itu.

Ini kerana, katanya, tiga landasan yang sedang diguna pakai ketika ini sudah mencukupi selain masih belum digunakan sepenuhnya.

“Selain itu, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) (sebelum ini Jabatan Penerbangan Awam Malaysia) sedang menaik taraf sistem kawalan trafik udara pada tahun ini dan tahun depan.

“Dengan naik taraf ini, jumlah pergerakan pesawat akan meningkat daripada 73 pesawat sejam kepada 110 pesawat sejam di tiga landasan sedia ada ini.

“Sehubungan itu, kita perlu pastikan yang kita memaksimumkan kapasiti dan pelaburan terlebih dulu sebelum membina landasan baru ini. Landasan ini sememangnya ada dalam perancangan untuk dibina, tapi saya fikir ia masih jauh lagi sebelum ia perlu dibina,” katanya.

Ditanya mengenai penurunan jumlah penumpang domestik di lapangan terbang tempatan, Badlishah berkata, ia antaranya disumbangkan tindakan Malaysia Airlines Bhd dan Malindo Air yang mahu mengurangkan penerbangan domestik dan menambah penerbangan antarabangsa.

“Namun seperti diketahui Malindo akan menerima pesawat baru, begitu juga dengan AirAsia, maka ia akan menyeimbangkan semula penurunan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 7:20 AM