Syarifah Dayana Syed Bakri


Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperuntukkan lebih RM100 juta tahun ini bagi menaik taraf kemudahan di lapangan terbang kendaliannya di seluruh negara.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata, peruntukan itu sebahagian besarnya bagi memastikan keselesaan pengguna di lapangan terbang terutama kemudahan surau dan tandas.

“MAHB terus memainkan peranan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sebagai terminal utama yang menjadi pilihan syarikat penerbangan.

“Profil penumpang sering berubah setiap tahun dan ada kemudahan yang disediakan tidak dapat memenuhi keperluan mereka,” katanya selepas melancarkan sambutan ulang tahun ke-25 MAHB di sini, semalam.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, KLIA mencatatkan peningkatan pengguna dalam kalangan mereka yang menunaikan umrah dan terdapat beberapa kemudahan di KLIA yang tidak sesuai untuk menampung keperluan kumpulan itu.

“Ketika lapangan terbang ini dibina, kemudahan disediakan tidak mengambil kira faktor jemaah umrah dan mulai tahun ini, MAHB akan menaik taraf kemudahan bagi memberi keselesaan kepada mereka.

“Ini termasuk menaik taraf surau dan tandas bagi memastikan jemaah umrah dapat mengambil wuduk dengan selesa dan mereka tidak berdepan masalah apabila pesawat sudah sedia untuk berlepas,” katanya.

Dalam pada itu, Badlisham berkata, pihaknya menjangkakan lima hingga enam syarikat penerbangan baru akan memulakan operasi di KLIA pada tahun ini.

“Syarikat penerbangan dari Filipina dijangka memulakan operasi minggu depan, malah terdapat pengendali penerbangan yang sebelum ini menghentikan operasi di KLIA akan membuat penampilan semula tahun ini.

“Selain syarikat penerbangan baru, kami turut mengadakan perbincangan berterusan dengan syarikat penerbangan sedia ada bagi menambah jadual kekerapan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:10 AM