TUN Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Majlis Ulangtahun KLIA ke-21 di KLIA, Sepang. FOTO: Aizuddin Saad
TUN Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Majlis Ulangtahun KLIA ke-21 di KLIA, Sepang. FOTO: Aizuddin Saad
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Siti A’isyah Sukaimi


TRANFORMASI Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke arah Airport 4.0 akan mengguna pakai teknologi terkini seperti pengenalan wajah, analisis data raya dan Internet benda (IoT).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menyedari bahawa sektor penerbangan negara mengalami perubahan ketara.

“Teknologi yang diguna pakai ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Malaysia dalam ekonomi global yang serba mencabar,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-21 KLIA di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tan Sri Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Menurutnya, berdasarkan jangkaan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), jumlah penumpang udara mampu mencapai dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun lagi.

“Malah, jumlah trafik penumpang juga akan meningkat pada kadar purata 5.3 peratus setahun sehingga 2045.

“Ia secara jelas memberi kelebihan kepada Malaysia khususnya KLIA dan terminal Klia2 yang akan mengendalikan peningkatan jumlah penumpang ini setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, perancangan awal KLIA hanya membabitkan anggaran untuk pengendalian 125 juta penumpang dengan empat satelit dan dua terminal namun, ia mengalami perubahan berdasarkan keadaan pasaran.

“Ketika awal pembinaan KLIA, kita tidak mengambil kira mengenai penerbangan tambang rendah namun, selepas beberapa tahun kita dapat menyaksikan bahawa penerbangan tambang rendah turut menjadi penyumbang kepada pertumbuhan sektor ini,” katanya.

Mahathir berkata, negara juga perlu mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan bagi memastikan kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Kita berharap agar jumlah penerbangan ke Malaysia dapat ditingkatkan dan dapat menarik pelancong dari negara Asean, China, India, United Kingdom dan Jerman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:06 PM