MENTERI Pelancongan Republik Indonesia, Arief Yahya (tiga dari kanan) memotong kek meraikan penerbangan sulung pesawat Citilink Indonesia.
MENTERI Pelancongan Republik Indonesia, Arief Yahya (tiga dari kanan) memotong kek meraikan penerbangan sulung pesawat Citilink Indonesia.
BERNAMA

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan untuk menarik 10 syarikat penerbangan baharu sama ada premium atau syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) ke Malaysia khususnya di lima lapangan terbang utama pada 2019.

Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan MAHB, Mohd Sallauddin Mat Sah berkata, lapangan terbang itu membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), terminal Klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Kami akan memberi tumpuan pada tahun depan dan mengenal pasti lebih banyak syarikat penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut penerbangan sulung Citilink Indonesia ke KLIA, semalam.

Mohd Sallauddin berkata, syarikat penerbangan yang berpotensi adalah dari China, negara Timur Tengah, rantau Asia dan rantau yang lain.

Beliau berkata, Malaysia mampu menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing dengan kepelbagaian tarikan pelancongannya dan akses mudah bagi sesetengah syarikat penerbangan tambang rendah untuk memulakan operasi.

Sehingga 2018, MAHB berjaya menarik 13 syarikat penerbangan dengan 11 daripadanya sudah memulakan operasi manakala dua lagi menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, ketibaan pesawat LCC Citilink Indonesia diberikan sambutan meriam air sebaik mendarat di KLIA jam 12.10 tengah hari, penerbangan sulungnya dari Banyuwangi, daerah paling Timur di Jawa Timur yang kaya dengan pelancongan berasaskan alam.

MAHB juga dijadual menyambut ketibaan penerbangan pertama TUI Airways (dahulunya dikenali sebagai Thomson Airways) dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Selain Birmingham, Tui turut menawarkan perkhidmatan carter jarak jauhnya dari dua lapangan terbang di United Kingdom iaitu Manchester dan Gatwick ke Langkawi dengan tiga penerbangan setiap dua minggu, menggunakan 797 Dreamliner.

Sementara itu, Royal Brunei Airlines akan memulakan laluan ​​​​​​Bandar Seri Begawan ke Kuching pada 28 Dis ini dengan dua penerbangan seminggu.

Mohd Sallauddin berkata, secara keseluruhan, MAHB menambah 50 laluan antarabangsa baharu dalam senarainya tahun ini manakala kekerapan antarabangsa mengikut minggu dari syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa meningkat sebanyak 458 sehingga Oktober 2018.

“Tahun ini dilihat sebagai tahun sangat produktif bagi Malaysia Airports dari segi pembangunan sambungan rangkaian, disokong oleh permintaan (perjalanan) yang lebih baik, menjanjikan muatan penumpang dan inisiatif pelancongan tempatan yang intensif dari penggiat industri,” katanya.

Beliau berkata, penawaran pelbagai produk pelancongan di Malaysia menyumbang kepada bilangan trafik lebih baik daripada pelancong premium berbanding pengembara bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:00 PM