MOHAMMAD Nazli (tengah) pada majlis perasmian butik kosmetik NARS. di Sepang.
MOHAMMAD Nazli (tengah) pada majlis perasmian butik kosmetik NARS. di Sepang.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjangka produk kosmetik dan wangian akan mencatatkan jualan lebih tinggi berbanding produk dalam kategori minuman keras dan tembakau ketika ini.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata, produk kosmetik dan wangian terus menjadi perhatian pelancong khususnya dari China yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan jualan yang dicatatkan.

“Produk kosmetik dan wangian adalah kategori paling pantas berkembang sejak dua hingga tiga tahun lalu dengan peningkatan ketara dicatatkan dalam tiga bulan kebelakangan ini.

“Ia berikutan peningkatan kemasukan jumlah pelancong khususnya dari China melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal klia2 yang memberi kesan secara langsung kepada segmen komersial di lapangan terbang ini,” katanya selepas pembukaan butik kosmetik NARS, di sini.

Menurutnya, melalui pemerhatian dilakukan pihaknya, pelancong China tidak keberatan berbelanja besar bagi produk kosmetik dan wangian selain turut melakukan kajian sebelum membuat pembelian.

“Tahun lalu, setiap penumpang China berbelanja sehingga RM110 untuk produk di bawah kategori ini dan kami menjangka jumlahnya akan terus meningkat tahun ini.

“Mereka gemar membeli produk jenama antarabangsa dan faktor pertukaran mata wang asing menjadikan produk yang ditawarkan di Malaysia jauh lebih murah berbanding negara lain,” katanya.

Beliau berkata, selain pelancong China, pelancong India dan Indonesia turut mencatatkan peningkatan melalui penerbangan yang dilakukan di KLIA atau Terminal klia2.

“Mengikut data yang kami terima, kuasa membeli bagi pelancong asing lebih tinggi berbanding pelancong tempatan. Dengan peningkatan jumlah pelancong asing, ia secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan jualan untuk produk ditawarkan di semua lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB,” katanya.

Menurutnya, pihaknya meletakkan sasaran mencapai empat hingga lima peratus pertumbuhan jualan di lapangan terbang kendalian MAHB terutama KLIA dan Terminal klia2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 8:28 AM