London: Kapten Newcastle United, Fabricio Coloccini (gambar) menulis surat terbuka memohon maaf kepada penyokong kelab itu berikutan prestasi buruk yang menyaksikan mereka bergelut untuk mengekalkan status Liga Perdana.

Rentetan lapan kekalahan liga berturut-turut menyaksikan Newcastle sekadar dua mata di atas zon penyingkiran dengan hanya baki tiga perlawanan.

“Bagi pihak pasukan saya mahu memohon maaf kerana apa yang kami lalui ini. Perlu dijelaskan ia bukannya sesuatu yang disengajakan,” tulis pertahanan Argentina, Coloccini dalam laman web kelab (www.nufc.co.uk), kelmarin.

“Masa untuk kami mengubah situasi ini amat pendek, tapi selepas hujung musim ini kami akan cuba belajar daripada kesilapan supaya kami tidak perlu melaluinya sekali lagi.

“Ini memeritkan buat kami seperti juga anda, kerana apabila pasukan turun ke padang kami berniat untuk memenanginya dan mempertahankan bukan saja warna kelab ini, jersi kami tapi juga mewakili beribu-ribu peminat seluruh bandar ini.”

Kekalahan 0-3 Newcastle di laman sendiri kepada Leicester City Sabtu lalu dengan dua pemain mereka dibuang padang mencetus ketegangan di kelab timur laut itu.

Isnin lalu, kelab itu mengeluarkan kenyataan mengadakan rundingan dua hari membabitkan pengurus John Carver dan pemain senior selain ahli lembaga pengarah dan mereka fokus serta berazam untuk mengekalkan status Liga Perdana. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 9:27 AM