CHELSEA perlu lebih tangkas ketika menentang Newcastle.
CHELSEA perlu lebih tangkas ketika menentang Newcastle.
Reuters

London: Chelsea mahu mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris tetapi mereka perlu terlebih dulu mengatasi Newcastle United malam esok jika mahu memberi tekanan kepada pesaing utama, Manchester City.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu hanya beroleh empat mata daripada sembilan yang sepatutnya singgah di kem mereka sepanjang jadual padat sempena Krismas dan kekalahan 5-3 di tangan Tottenham Hotspur pada 1 Januari lalu memberi ruang buat juara bertahan, City untuk mengejar sedangkan mereka pernah ketinggalan lapan mata sebelum ini.

Kemenangan mudah pada saingan Piala FA ke atas Watford memberikan sedikit kelegaan buat Chelsea tetapi mereka sedar pertemuan menentang Newcastle malam esok tidaklah semudah disangka.

City yang mengumpul mata, perbezaan jaringan serta jaringan yang sama dengan Chelsea, akan bertandang ke Everton malam esok dalam usaha untuk melebarkan rekod kemenangan mereka setakat ini.

Selepas Chelsea dilihat hampir pasti bergelar juara gara-gara persembahan meyakinkan sejak awal musim, saingan untuk memburu mahkota liga dilihat semakin terbuka.

Aksi tidak menentu Chelsea bermula di tempat lawan dengan kekalahan di tangan Newcastle serta Tottenham selain seri di Southampton.

Mereka bagaimanapun agak cemerlang di tempat sendiri apabila menang semua sembilan perlawanan liga dan penyerang Loic Remy percaya kekalahan awal yang mereka alami itu tidak akan berpanjangan.

“Suasana di dalam bilik persalinan semakin positif dan kami semua sudah menumpukan perhatian terhadap sasaran kami,” kata Remy yang menjaringkan gol ketika bertemu Watford. “Sepanjang musim, pasti ada pasukan yang berdepan masalah tersendiri dan saya berharap masalah kami sudah berlalu.”

John Carver masih lagi menjadi pengendali sementara Newcastle selepas Alan Pardew meletakkan jawatan dan berpindah ke Crystal Palace dan beliau bimbang dengan kebangkitan Chelsea apatah lagi dalam usaha mahu mencari kepercayaan pengurusan tertinggi kelab.

“Bohong kalau saya katakan bahawa saya tidak mengimpikan jawatan sebagai ketua jurulatih kelab ini,” kata Carver.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:10 AM