London: Pengurus sementara Newcastle, John Carver akan terus bertugas bersama kelab bermasalah Liga Perdana itu bagi tiga perlawanan terakhir musim ini selepas rundingan krisis, kelmarin.

Carver dijangka dipecat selepas Newcastle mengalami kekalahan kelapan berturut-turut di tangan Leicester, Sabtu lalu menyaksikan mereka hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Dengan Newcastle kini bergelut memastikan tidak tersingkir selepas kelihatan selamat di pertengahan liga hanya beberapa minggu lalu, Carver dikritik hebat penyokong Magpies yang enggan bertepuk tangan berikutan kekalahan 0-3 kepada Leicester.

Carver yang mengambil alih apabila Alan Pardew menyertai Crystal Palace pada pertengahan musim, lebih menyukarkan keadaan apabila mendakwa pertahanan Mike Williamson sengaja mahu dirinya dibuang padang di Leicester, kemudian mengakui: “Ada kemungkinan pemain tidak mahu mendengar cakap saya.”

Namun membalas spekulasi pemecatan Carver, Newcastle mengeluarkan kenyataan dengan memutuskan beliau akan kekal bertugas bagi perlawanan menentang West Brom hujung minggu ini.

“Berikutan keputusan di Leicester Sabtu lalu, kami mengadakan dialog dua hari bersama Carver dan pemain senior,” menurut kenyataan itu.

“Keputusan daripada rundingan itu ahli lembaga, Carver, staf dan pemain jelas fokus dengan situasi semasa dan tiga baki perlawanan penting musim ini, dua daripadanya di St James’ Park.

“Semua pihak bertanggungjawab dan berazam bersama-sama memastikan kelab ini kekal dalam Liga Perdana.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:39 AM