LUKAKU (tengah) ledak gol pembukaan Everton.
LUKAKU (tengah) ledak gol pembukaan Everton.

Liverpool: Everton menamatkan lima perlawanan tanpa kemenangan selain melupakan seketika kebimbangan tersingkir apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas Newcastle di Goodison Park, kelmarin.

Skuad kendalian Roberto Martinez itu sebelum ini hanya tiga mata di atas kelompok tiga terbawah Liga Perdana hasil persembahan mengecewakan sejak kebelakangan ini.

Begitupun, jaringan James McCarthy, Romelu Lukaku serta Ross Barkley memberikan kemenangan pertama di laman sendiri tahun ini, sekali gus membolehkan mereka melonjak jauh mengatasi zon penyingkiran.

Hari malang Newcastle bermula apabila kapten Fabricio Coloccini dilayangkan kad merah ketika pasukannya ketinggalan dua gol di babak kedua.

Walaupun mencapai keputusan baik di Liga Europa termasuk menang 2-1 ke atas Dynamo Kiev awal Jumaat lalu, keyakinan seperti tidak wujud di Goodison ketika peminat tempatan semakin tidak sabar untuk melihat kejayaan mereka di laman sendiri.

Penyerang Belgium Lukaku membuktikan aksi mantap yang dipamerkan ketika menentang Kiev mampu diteruskan menerusi gol pembukaan yang diledakkan pada minit ke-20.

Phil Jagielka membuat hantaran tepat ke arah Lukaku dan dia tidak melakukan kesilapan untuk menolak ke arah McCarthy untuk gol kedua pasukan manakala Barkley menyempurnakan kemenangan bergaya Everton pada lewat permainan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:20 AM