Jakarta: Susi Pudjiastuti, memulakan tugasnya sebagai Menteri Kelautan dan Perikanan dengan mengarahkan kakitangan masuk kerja sejam lebih awal, lapor media semalam.

Kata Susi, langkah itu dibuat bagi mengelak mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, terutama ketika pulang.

“Saya mahu waktu kerja 7 pagi berbanding jam 8 pagi sebelum ini dan pulang 3 petang.

“Perjalanan pergi dan balik yang terlepas daripada kesesakan membolehkan mereka datang semula ke pejabat dalam keadaan segar,” katanya.

Susi berkata, sebelum membuat arahan itu dia terfikirkan nasib anak serta keluarga kakitangannya di rumah.

Katanya, jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, kebanyakan masa mereka dihabiskan di jalan raya berbanding untuk keluarga.

Susi, 49, adalah seorang daripada lapan wanita dilantik Presiden Jokowi menganggotai Kabinet Kerjanya, baru-baru ini.

Sebelum ini Susi dikenali sebagai ahli perniagaan marin serta memiliki syarikat penerbangan Susi Air.

Sementara itu Susi juga berkata, statusnya sebagai menteri tidak akan mengubah penampilannya menjadi lebih feminin.

“Saya akan tampil seadanya, sama seperti sebelum ini,” katanya.

Imej Susi memang dilihat lebih keras dan maskulin.

Katanya, dia sudah biasa dengan imej itu dan sering berseluar panjang untuk ke mana-mana.

“Jika saya disuruh berubah seperti birokrat, seperti ibu yang manis feminin, saya tidak boleh.

“Sejak hampir 50 tahun saya seperti ini,” katanya.

Kata Susi, dia ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak seorang cucu.

Dia pernah berkahwin dua kali sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:13 AM