SUSIE berat hati tinggalkan dunia F1.
SUSIE berat hati tinggalkan dunia F1.
SUSIE (dua dari kanan) bersama pemandu pasukan Williams.
SUSIE (dua dari kanan) bersama pemandu pasukan Williams.

Pelumba wanita Britain Susie Wolff (gambar) mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran hujung musim ini.

Susie menjadi wanita pertama dalam tempoh dua dekad mengambil bahagian pada perlumbaan Formula Satu dalam sesi latihan pertama pada Grand Prix Britain tahun lalu.

Namun wanita kelahiran Scotland itu yang menyertai Williams pada 2012 mengumumkan masanya sudah tiba untuk melupakan karier sebagai pelumba.

“Saya ingin berterima kasih kepada Williams kerana peluang yang diberikan beberapa tahun lalu membolehkan saya mencapai impian memandu kereta Formula Satu,” kata Susie dalam satu kenyataan.

“Seronok dapat bekerjasama dengan semua orang dalam pasukan, baik di Grove (kilang pasukan Williams) mahupun di trek dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menjadi sebahagian daripada kembara saya di Williams.

“Kini saya menutup kisah ini tetapi berhasrat meneroka cabaran baru pada masa depan.”

Susie juga mengambil bahagian dalam sesi latihan Grand Prix Jerman tahun lalu selain sesi di Sepanyol dan sekali lagi di Silverstone.

Susie yang berkahwin dengan Pengarah Eksekutif Mercedes Toto Wolff, tidak percaya sukan itu sudah bersedia menyambut kehadiran pelumba wanita dalam masa terdekat.

Susie, 32, yang menulis dalam blog untuk Huffington Post menambah: “Penyertaan saya dalam Formual Satu bukan sekadar impian seorang pemandu yang cuba mencapai kemuncak dalam sukan ini. Ia juga satu harapan bahawa akhirnya akan ada seorang pelumba wanita di petak permulaan.

“Saya menyahut cabaran itu, bersemangat dengan sokongan yang diterima dan berusaha keras. Ada yang mahu ia menjadi kenyataan dan ada yang tidak.

“Saya hanya boleh katakan, saya berikan segala-galanya. Adakah anda fikir F1 sudah bersedia untuk pelumba wanita kompetitif yang mampu beraksi pada tahap tertinggi? Ya

“Adakah saya fikir, sebagai wanita saya boleh mencapainya? Sudah tentu. Adakah saya fikir ia akan segera berlaku? Malangnya tidak.

“Kami berdepan dua isu: tidak ramai pelumba perempuan yang menyertai perlumbaan go-kart pada usia muda dan tiada idola yang boleh disanjung. Ada kalanya, anda perlu melihat untuk percaya.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk terus melangkah.”

Susie dipilih sebagai pelumba pembangunan Williams pada 2012 sebelum dipilih sebagai pemandu uji musim ini.

Namun harapannya untuk menjadi wanita pertama menyertai perlumbaan Formula Satu selepas pelumba Itali Lella Lombardi pada 1976 berdepan kekecewaan apabila Williams membawa masuk Adrian Sutil selepas Valteri Bottas mengalami kecederaan sewaktu kelayakan Grand Prix Malaysia.

Bottas cukup cergas untuk kembali berlumba namun tindakan Williams bagaikan merintangi harapan jangka panjang yang diimpikan Susie untuk bertanding mewakili pasukan itu pada perlumbaan sebenar.

Susie yang memulakan kariernya dalam sukan go-kart berkata: “Pada usia 13 tahun, saya mempunyai impian untuk menyetai Formula Satu.

“Saya sudah terlalu hampir. Saya mahukannya dan berjuang untuk menjadikannya kenyataan di grid permulaan tetapi peristiwa pada awal tahun ini dan suasana dalam F1, ia tidak mungkin akan berlaku.

“Sebagai ahli sukan, memang sukar untuk tahu bila masanya untuk berhenti tetapi bagi saya perjalanan ini sudah sampai ke penghujungnya.”

Timbalan ketua pasukan Williams, Claire Williams berkata: “Gembira dapat bekerja dengan Susie sejak beberapa tahun lalu dan menyaksikan sendiri kariernya sebagai pemandu berkembang dalam pasukan.

“Maklum balas dan pengetahuannya mengenai kereta menjadi bahagian penting pembangunan kami beberapa tahun kebelakangan dan kami simpati dengan pemergiannya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas usahanya dan mendoakan kejayaannya dalam kerjaya akan datang.”

Perlumbaan terakhir Susie adalah pada Race of Champions di London hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 8:15 AM