Susi Arina bersama suami dan Sumayyah. FOTO Ihsan FB Susi Arina Mohd Hasry
Susi Arina bersama suami dan Sumayyah. FOTO Ihsan FB Susi Arina Mohd Hasry
Alias Abd Rani


“KITA balik sayang, ibu Sumayyah sudah tiada di sini. Ibu sudah pindah. Sumayyah jangan sedih, ummi dan ayah sentiasa ada dengan Sumayyah.”

Itu kata-kata pujukan Susi Arina Mohd Hasry, 33, kepada anak angkatnya, Sumayyah Nor Hazlin, 19 bulan.

Susi Arina sedang berusaha mencari ibu kandung Sumayyah, warga Indonesia dikenali sebagai Nelly yang terputus hubungan sejak menyerahkan anaknya pada awal 2018.

Mempertemukan Nelly dengan Sumayyah menjadi ‘misi peribadi’ Susi Arina kerana tidak mahu silaturahim ibu dan anak terputus.

Susi Arina berkata, kehadiran Sumayyah bukan saja penyeri hidup dia dan suami, Nor Hazlin Muzid, 33, malah membawa cahaya dalam rumah tangga pasangan itu.

“Terima kasih Allah SWT kerana menghadiahkan permata berharga untuk kami. Kehidupan kami sudah lengkap dengan kehadirannya.

“Kami belum dikurniakan anak sejak berkahwin tujuh tahun lalu malah pelbagai dugaan dilalui antaranya saya dan suami sentiasa tidak sihat.

“Walaupun sudah beberapa kali berjumpa doktor, namun penyakit misteri masih gagal diubati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suaminya tidak bermaya, badannya sentiasa lemah manakala dia pula kerap sakit kepala.

“Apabila Allah SWT menghadiahkan kami Sumayyah, penyakit yang dialami selama ini tiba-tiba hilang,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya mereka tidak merancang mengambil anak angkat sehinggalah menerima panggilan kakak iparnya yang memaklumkan ada wanita mahu menyerahkan anaknya.

“Ketika itu, kami masih di Sabah dan kami takut kerana tiada persediaan mental.

“Walaupun kedua-dua pihak termasuk keluarga mentua menyokong, kami masih berbelah bahagi.

“Tidak berapa lama kemudian, suami berubah fikiran dan bersetuju mengambil Sumayyah. Pertama kali suami buat bila berjumpa Sumayyah ialah iqamah di telinga.

“Air mata kami bercucuran ketika itu kerana seperti tidak percaya kami diberikan anak,” katanya.

Ibu Sumayyah terpaksa menyerahkan anak bongsu daripada lima beradik itu kepada pasangan berkenaan kerana perlu bekerja selain tidak dapat menumpukan masa untuk membesarkannya.

Bagaimanapun Susi Arina tergerak mahu mempertemukan Sumayyah dengan ibunya sehingga terbawa ke mimpi.

Usahanya setakat ini gagal apabila wanita terbabit dipercayai sudah berpindah ke tempat lain.

Wajah comel Sumayyah ketika kecil dan kini berusia 19 bulan. FOTO Ihsan FB Susi Arina Mohd Hasry
Wajah comel Sumayyah ketika kecil dan kini berusia 19 bulan. FOTO Ihsan FB Susi Arina Mohd Hasry

“Sepanjang Ramadan saya dan suami berbincang untuk membawa Sumayyah jumpa ibu kandungnya dan memang ada perasaan bimbang andai berlaku perkara di luar jangkaan. Kami takut kehilangan Sumayyah.

“Tapi saya bulatkan tekad mencari ibunya namun pada 8 Jun lalu, kami membawanya ke rumah ibunya di Bachang, Melaka tapi dimaklumkan dia sudah berpindah,” katanya.

Usaha Susi Arina itu tular di media sosial selepas dia memuat naik status di Facebook (FB) mengenai pencariannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:43 PM