Agensi

Jakarta: “Lari, pak! Lari!” kata Presiden Jokowi kepada Ignatius Jonan ketika dia memperkenalkan Menteri Pengangkutan Indonesia itu kepada media di majlis pengumuman barisan kabinetnya petang semalam.

Sebelum itu Jokowi membacakan senarai nama tokoh dilantik menganggotai kabinetnya dan seorang demi seorang tampil berbaris di sisinya.

Teguran Jokowi kepada Jonan itu menyebabkan tokoh yang diumum selepasnya berlari-lari anak ke depan sebaik saja nama mereka dipanggil walaupun tidak diarahkan begitu.

Pengumuman ringkas itu dibuat di halaman depan Istana Negara.

Selepas Jonan, Jokowi membacakan nama Menteri Kelautan dan Perikanan, Susi Pudjiastuti, yang berlari-lari anak ke depan.

Melihat keadaan itu Jokowi kemudian berkata: “Tak usah berlari, bu.”

Susi kemudian tersenyum simpul.

Namun, dua tokoh selepas Susi, Menteri Pelancongan Arif Yahya dan Menteri Tenaga dan Sumber Daya Manusia, Sudirman Said turut berlari.

Seramai 34 menteri diumum menganggotai pasukan dinamai Jokowi sebagai Kabinet Kerja itu, termasuk untuk mengetuai Kementerian Kemaritiman yang baru ditubuhkan.

Sejumlah tokoh teknokrat dilantik Jokowi bersama pemimpin parti yang menyokongnya dalam usaha bekas Gabenor Indonesia itu melaksanakan reformasi mengatasi kelembapan ekonomi Indonesia.

Sebelum dilantik, Jokowi juga menghantar nama calon terbabit kepada agensi antirasuah kebangsaan - suatu langkah yang tidak pernah diambil mana-mana presiden sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:06 AM