ANAK Fauzan menjadi penjaga gol (tengah) dalam satu perlawanan.
ANAK Fauzan menjadi penjaga gol (tengah) dalam satu perlawanan.
Azlan Muhammad Zain dan Mohd Firdaus Hashim
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Akademi bola sepak hanya membunuh minat anak saya. Itu keluhan antara segelintir individu yang kecewa dengan pihak pengurusan akademi bola sepak di negara ini yang didakwa gagal menjalankan tanggungjawab mereka menggilap bakat pemain muda.

Bagi mereka, bukan saja hasrat melihat anak mereka dilengkapi ilmu kemahiran bola sepak tidak kesampaian malah keghairahan sesetengah akademi bola sepak yang mengejar keuntungan dan mencari nama menjadikan minat mereka berkubur begitu saja.

Menurut Rozaiman Idris, 38, tiada guna menghantar anak yang tidak mahir dalam asas bola sepak belajar di akademi bola sepak kerana mereka hanya akan berasa diabaikan.

“Saya hantar anak saya, Aiman Arif menyertai sebuah akademi bola sepak di Shah Alam pada 2011. Dengan bayaran RM40 sebulan dan latihan dua kali seminggu saya harap anak saya mempelajari teknik permainan yang betul.

“Tapi saya silap kerana pihak akademi seakan tidak ada masa untuk mengajar perkara asas sebaliknya mereka lebih memberi perhatian kepada pemain yang lebih mahir dan berbakat saja. Tidak guna saya hantar anak berusia 7 tahun ketika itu ke akademi jika anak saya sudah bagus, bagi saya akademi itu sudah tersasar daripada matlamat sebenar.

“Saya faham mereka mahu pemain hebat kerana mahu memenangi kejohanan untuk memastikan akademi mereka mendapat nama dan menarik ramai lagi penyertaan tapi tidak adil jika pemain kurang bagus diketepikan begitu saja, tidak kira dalam latihan dan pertandingan.

“Apabila anak saya berusia 10 tahun, saya cuba hantar menyertai satu lagi akademi di Sungai Buloh tapi sekarang dia sudah tidak berminat,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Isu beberapa akademi bola sepak yang hanya sibuk memikirkan keuntungan berbanding meningkatkan tahap permainan pemain muda dibangkitkan Arena Metro semalam selepas mendapat rungutan beberapa pihak termasuk bekas jurulatih akademi sendiri.

Dengan ratusan ringgit dikeluarkan setiap bulan semata-mata untuk menggilap bakat dan memupuk minat anak seawal usia lapan hingga 18 tahun, mereka mendakwa usaha sia-sia apabila tidak menampakkan sebarang hasil.

Turut berkongsi rasa tidak puas hati, Fauzan Gadli, 40, yang kecewa apabila wujudnya unsur ‘kronisme’ dalam bola sepak membabitkan pemain muda.

“Jika anak anda tidak pandai bermain, saya nasihatkan supaya tidak perlu buang masa dan duit menghantar berlatih di akademi bola sepak. Saya sedih kerana anak saya sudah tidak berminat mendapat latihan lebih sistematik selepas menyertai salah sebuah akademi di Banting.

“Semuanya gara-gara jurulatih akademi itu tidak memberi ruang sama rata kepada pemain untuk beraksi dalam perlawanan di kejohanan disertai. Cuba bayangkan anak saya yang bersemangat untuk bangun seawal enam pagi pada hari Ahad untuk bermain bola sepak dengan rakan-rakannya terpaksa menunggu hingga jam 12 tengah hari untuk bermain tidak sampai 10 minit dalam satu kejohanan disertai akademi kelab itu.

“Situasi ini bukan sekali berlaku dan ia juga menimbulkan rungutan daripada ibu bapa lain. Sepatutnya jurulatih perlu bertindak lebih adil dan bukannya fokus kepada pemain bagus saja atau bersikap kronisme dengan memberi peluang kepada pemain tertentu walaupun tidak bagus.

“Dengan usia pemain 10 hingga 12 tahun ini pada saya, biarlah mereka diberi keseronokan bermain dalam masa yang sama merasai pengalaman bermain dalam perlawanan dan bukannya dibiarkan menyepak bola di bawah pokok di tepi padang sambil melihat kawan lain bermain. Itu hanya akan mematikan minat mereka saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 9:24 AM