Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ke manakah sebenarnya hala tuju bola sepak negara terutama selepas melihatkan kedudukan ranking FIFA menyaksikan skuad Harimau Malaya terus merudum dengan kini menghuni tangga ke-164 dunia, malah lebih menyedihkan pasukan seperti Bhutan berada di atas kita.

Tanpa kejayaan membanggakan sepanjang 20 tahun lalu, kecuali pada 2010 dan 2011 yang menyaksikan pasukan negara menjuarai Piala AFF serta mempertahankan pingat emas Sukan SEA di bumi Indonesia, taring skuad kebangsaan seolah-olah tumpul dan juga tidak keterlaluan dianggap sekadar kejayaan ‘mee segera’.

Apa yang berlaku mengundang pelbagai persoalan terutama di peringkat pembangunan, meskipun sudah banyak akademi bola sepak dibuka bagi membantu melahirkan lebih ramai bakat baru yang boleh diangkat untuk mewakili negara suatu hari nanti.

Jelas, lambakan akademi bola sepak di seluruh negara tidak banyak menyumbang kepada kebaikan, namun sebaliknya timbul pula pelbagai rungutan daripada ibu bapa yang mempersoal keikhlasan dan kejujuran sesebuah akademi dalam melatih anak mereka biarpun sudah banyak kos yang dikeluarkan.

Menurut Muhammad Faizal Basarom, salah seorang ahli keluarganya pernah melalui situasi itu apabila anak saudaranya yang dihantar ke sebuah akademi bola sepak ditipu pemilik akademi yang didakwanya sekadar mahu mengaut keuntungan.

“Abang saya pernah menghantar anak menjalani latihan bersama sebuah akademi bola sepak dengan harapan agar anaknya dapat mempelajari dan mempertingkatkan mutu permainan.

“Banyak duit dilaburkan selama setahun, namun apa yang mengecewakan apabila anaknya hanya diberi kesempatan bermain selama 10 minit dalam satu aksi persahabatan selama 12 bulan di situ.

“Apabila ditanya kepada jurulatih pasukan, dia menjawab itu arahan daripada Presiden akademi dan bukan daripadanya. Lebih mengecewakan, pemain luar yang bukan daripada akademi itu pula dibenarkan bermain semata-mata mahu mengelak pasukan daripada kekalahan.

“Dimanakah kejujuran akademi itu dalam membentuk pemain di bawah jagaan mereka. Duit dah keluar, tapi tidak diberi peluang bermain. Sebaliknya orang luar pula diberikan tempat,” katanya ketika ditemui Arena Metro, semalam.

Keluhan Faizal itu ada benarnya dengan setiap akademi difahamkan membuka pendaftaran peserta menerusi lima peringkat umur bermula 8 tahun ke bawah, 10, 12, 15 dan 18 tahun dengan setiap kumpulan itu menghimpunkan seramai 30 ke 40 peserta dengan bayaran serendah RM100 seorang setiap sebulan.

Berdasarkan perkiraan itu, jelaslah perniagaan berunsurkan akademi bola sepak itu amat lumayan dan tidak hairanlah jika lambakan akademi itu sekadar mencari keuntungan semata-mata daripada membangunkan bola sepak negara.

Bekas jurulatih, Ahmad Najib Razak mengakui masalah itu sememangnya wujud ketika dia pernah membantu sebuah akademi bola sepak di ibu kota.

“Saya pernah berhenti daripada sebuah akademi akibat ketuanya yang terlalu ghairah menambah cawangan ke tempat lain. Saya minta dia untuk fokus dahulu pada satu akademi, supaya kita benar-benar dapat mendidik peserta yang ada.

“Tetapi dia enggan mendengar dan daripada situ saya melihat akademi itu hanya mahu mencari keuntungan semata-mata. Sudahlah bayaran kami sebagai jurulatih cuma RM20 sahaja, barang-barang dan kelengkapan permainan pun guna duit sendiri.

“Tapi tidak semua akademi beroperasi semata-mata mengejar keuntungan, ada juga yang bagus seperti akademi PKNS dan Frenz United. Cumanya sebelum ibu bapa menghantar anak buat dulu kaji selidik dan perbandingan supaya tidak ditipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:50 AM