AKSI pelajar ketika sesi latihan di 10Footbal Academy.
AKSI pelajar ketika sesi latihan di 10Footbal Academy.
Azlan Muhammad Zain dan Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: “Memang wujud akademi yang mahu untung saja.”

Itu pendedahan dibuat salah seorang pengusaha akademi bola sepak, 10Football Academy yang mempertikaikan keikhlasan dan kejujuran beberapa akademi yang lebih memikirkan keuntungan daripada pembangunan bakat.

Menurut pemilik 10Footbal Academy Khairul Nuhairi Abdul Rashid, kebanyakan pengusaha menggunakan akademi sebagai topeng mengaut keuntungan setiap bulan tanpa menghiraukan bakat pemain di bawah naungan mereka.

“Ada benar juga segelintir pengusaha akademi ini mencari untung dan ianya tidak di nafikan. Kebanyakan akademi menggunakan ayat-ayat klise yang sering disebut mereka di peringkat akar umbi iaitu mencungkil bakat.

“Namun, itu semuanya hanya indah khabar daripada rupa. Oleh kerana mahu mencari nama apabila memenangi sesuatu kejohanan, mereka (akademi) lupa objektif utama ialah mencungkil bakat, bukannya mencari nama atau ‘peram’ pemain hingga berumur 17 tahun.

“Apabila kemenangan menjadi agenda utama memasuki satu-satu pertandingan, mereka sanggup mengambil orang luar atau pelatih ‘haram’ (yang tidak berdaftar dengan akademi) demi mencapai kemenangan.

“Walhal, pemain yang datang latihan setiap minggu dan bayar yuran bulanan tidak di benarkan bermain. Bagi saya itulah yang dikatakan akademi yang mencari keuntungan sekali gus membunuh bakat-bakat lain. Senario ini sebenarnya sudah lama berlaku,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro sejak Isnin lalu, beberapa akademi bola sepak dilapor hanya sibuk memikirkan keuntungan berbanding meningkatkan tahap permainan pemain muda selepas mendapat rungutan beberapa pihak terutama ibu bapa serta bekas pemain dan jurulatih akademi sendiri.

Biarpun sudah berhabis duit, ibu bapa mendakwa usaha itu hanya sia-sia apabila tidak menampakkan sebarang hasil malah ditipu pihak akademi yang tidak serius untuk mengilap bakat anak mereka.

Jelas Nuhairi yang juga ketua jurulatih dengan kelayakan FIFA Grassroots berkata, cara latihan segelintir akademi juga tidak betul dengan konsep pembangunan di peringkat akar umbi kerana mengamalkan konsep latihan ‘team training’ dan bukannya ‘personal enhancement’.

“Latihan ‘team training’ ini hanya sesuai untuk pasukan yang akan menyertai sesuatu kejohanan dan apabila konsep ini diterapkan, pelatih yang agak lemah atau baru berjinak-jinak dengan bola sepak akan ketinggalan. Di situlah punca semua permasalahan ini.

“Sepatutnya pelatih itu harus diberi tunjuk ajar lebih dekat dengan menggunakan modul ‘personal enhancement’, yang saya anggap lebih tepat memandangkan akademi itu sendiri adalah tempat untuk belajar.

“Sebab itulah di akademi ini, saya hanya meletakkan seorang jurulatih untuk mengajar 14 pelatih daripada sesetengah akademi yang meletakkan hingga 40 pelatih untuk dipantau seorang jurulatih. Sudah pasti jurulatih itu terlepas pandang ketika melatih,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau senada dengan pendapat bekas pemain kebangsaan Bakri Ibni yang menuntut ibu bapa selidik dahulu sebelum menghantar anak mereka ke mana-mana akademi bola sepak.

“Ibu bapa harus membuat sedikit kaji selidik akademi mana terbaik untuk anak mereka. Seperti mencari pusat tuisyen, ibu bapa harus tahu pusat tuisyen terbaik dan bukannya main hantar saja. Kalau tidak, duit akan habis beratus ringgit dan hasil pula mengecewakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:15 AM