Aniq curi perhatian FC Malaga City
Aniq curi perhatian FC Malaga City
Firdaus Hashim


BAKAT bola sepak anak kepada artis terkenal tanah air, Nasharudin Elias, Aniq Asri mendapat perhatian dan dilamar akademi bola sepak, FC Malaga City.

Aniq bekas pemain belia UiTM FC dalam saingan liga tempatan berjaya memikat pemerhati bola sepak di Eropah itu. Malah seorang lagi pemain remaja, Allee Putra Azril dari Bachok, Kelantan turut ditawar bermain di akademi bola sepak terkemuka Sepanyol itu.

Nasharudin atau lebih popular dengan panggilan Nash Lefthanded, memberitahu Aniq sememangnya memiliki bakat besar dalam bola sepak sejak kecil dan kejayaan anaknya beraksi di FC Malaga City cukup membanggakan.

"Aniq memang minat bola sepak dan saya sebagai bapa hanya memberi galakan buatnya untuk mencapai cita-citanya itu.

"Walaupun saya penyanyi dan biasanya anak akan terikut hobi ayah, namun Aniq lain dan kalau nak tahu anak-anak saya semuanya pemalu.

"Bagus juga kalau anak-anak ada yang tidak mengikut jejak saya sebagai penyanyi tetapi tetap mampu menyumbang sesuatu kepada negara.

"Kejayaan Aniq diikat kelab sana memang memberi satu kebanggaan bukan saja buat keluarga, malah juga negara," kata penyanyi legenda itu kepada Arena Metro.

Nash punyai anak yang berbakat dalam sukan
Nash punyai anak yang berbakat dalam sukan

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan Allee Putra Azril ditawar bermain di akademi bola sepak terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Remaja itu menggemparkan dunia bola sepak negara selepas ditawar kontrak menjalani latihan di akademi elit itu selama dua tahun walaupun dia bukan pemain yang dikenali di Malaysia.

Jelas Nash lagi, melihat kepada prestasi anak lelakinya itu, beliau yakin impian Aniq untuk beraksi di luar negara bukan angan-angan kosong dan percaya peluang yang diberikan oleh FC Malaga City adalah pembuka jalan buat Aniq mencipta nama di Eropah.

"Sekarang dia dah balik ada di sini (Kuala Lumpur) disebabkan oleh Covid-19. Tak lama lagi dia akan balik ke Sepanyol dan meneruskan latihan di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 10:22 PM