MUZAMEL (tengah) bersama barisan pemain KBAJ.
MUZAMEL (tengah) bersama barisan pemain KBAJ.
Azlan Muhammad Zain dan Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Siapakah pihak yang sebenarnya bertanggungjawab memantau kegiatan akademi bola sepak di negara ini? Itulah persoalan dibangkitkan ketua jurulatih Kelab Bolasepak Ampang Jaya (KBAJ) Mohd Muzamel Mohd Thani yang bimbang dengan hala tuju penubuhan akademi yang semakin ‘berlambak’ di seluruh negara.

Katanya, tidak wajar melabel semua akademi bola sepak ditubuhkan untuk mengejar keuntungan semata-mata kerana ada di antaranya sanggup ‘bergolok bergadai’ dalam usaha menggilap bakat pemain muda.

“Bagi saya, tidak semua akademi hanya mementingkan keuntungan kerana kalau dikira bayaran RM35 sebulan yang kami terima setiap peserta setiap bulan tidak cukup untuk menguruskan kos latihan mereka.

“Kos latihan bola sepak bukan murah sekarang, kami perlu sewa padang, membeli kelengkapan dan peralatan sukan, itu belum lagi kos menyertai sesuatu pertandingan yang membabitkan makan minum serta pengangkutan.

“Kami juga tidak terlalu berkira kerana jika ada pemain berbakat namun datang daripada keluarga kurang kemampuan ataupun yatim piatu, kami tidak akan mengenakan sebarang bayaran, semuanya kerana rasa tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Isu segelintir akademi bola sepak yang hanya menggunakan nama akademi untuk mengaut keuntungan tapi tidak serius menggilap pemain muda mula mendapat perhatian selepas beberapa pihak antaranya ibu bapa dan pengusaha akademi sendiri menyuarakan keluhan itu.

Ibu bapa mendakwa pelaburan berjumlah ratusan ringgit setiap bulan tidak berbaloi apabila mendakwa anak mereka dipinggirkan kerana pihak akademi lebih memberi fokus kepada pemain yang sedia bagus serta sanggup mengambil orang luar untuk menyertai pertandingan demi mengejar kemenangan.

Bagi Muzamel, 38, yang memiliki lesen C serta dibantu tujuh lagi jurulatih bertauliah menguruskan 150 peserta di KBAJ, akademi bola sepak di negara ini memerlukan pemantauan daripada pihak tertentu seperti persatuan bola sepak negeri dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya, pemantauan pihak terbabit bukan saja memudahkan ibu bapa mengenali akademi berkelayakan malah demi hala tuju program pembangunan di peringkat akar umbi.

“Masalahnya akademi di Malaysia tidak ada pemantauan, sesiapa saja yang berminat boleh tubuhkan akademi. Pada saya bagus jika persatuan bola sepak negeri ataupun FAM turun padang memantau dan melihat program bola sepak di akademi.

“Akademi boleh mendaftar dengan persatuan bola sepak negeri tapi adakah mereka mahu memantau apa yang dilakukan sesebuah akademi itu sedangkan ada akademi yang bersungguh-sungguh membantu di peringkat akar umbi dengan menggilap pemain hingga ke peringkat tinggi.

“Semua pihak sibuk mencanang mengenai program akar umbi tapi adakah mereka tahu apa yang berlaku di peringkat bawah? Adakah mereka membantu dari segi kewangan ataupun berkongsi kepakaran dengan pihak akademi?

“Tanpa pemantauan dan kerjasama antara persatuan bola sepak negeri dan FAM, pemain ini tidak akan ke mana kerana mereka tidak diberi peluang untuk diketengahkan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:15 AM