TUNAS Lagenda muncul juara U12 Soccerkids Shah Alam pada 2013.
TUNAS Lagenda muncul juara U12 Soccerkids Shah Alam pada 2013.
Azlan Muhammad Zain dan Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: “Selidik dulu.” Itu saranan bekas jurulatih dan pemain kebangsaan Bakri Ibni (gambar kecil) susulan rungutan segelintir ibu bapa yang mendakwa sesetengah akademi bola sepak hanya mahu mencari keuntungan berbanding menggilap bakat pemain muda.

Menurut Bakri yang juga Presiden Kelab Bolasepak Tunas Legenda (KBTL), beliau tidak dapat menafikan kewujudan sesetengah akademi berorientasikan keuntungan namun pada masa sama ibu bapa seharusnya memainkan peranan proaktif apabila mahu mendaftarkan anak masing-masing.

“Saya minta ibu bapa selidik dulu mana-mana akademi andai mahu mendaftar anak mereka. Jangan hanya mendengar orang bercerita saja tentang akademi tertentu, anda perlu lihat sendiri kualiti, kemampuan jurulatih dan hala tuju anak apabila sudah meningkat dewasa.

“Malah perlu berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan. Semua perkara itu perlu diambil tahu dan tidak boleh pandang mudah,” kata Bakri yang juga ketua jurulatih KBTL.

Arena Metro sejak Isnin lalu melaporkan lambakan akademi bola sepak menimbulkan keraguan segelintir ibu bapa terutamanya dalam membantu melahirkan lebih ramai bakat baru untuk diketengahkan ke pentas lebih tinggi.

Sesetengahnya didakwa hanya mementingkan keuntungan berbanding usaha memberikan teknik dan asas bola sepak tepat kepada kanak-kanak.

Pada masa sama Bakri turut mengingatkan ibu bapa agar mengubah corak pemikiran mereka bahawa ‘football is a school of lifes’ iaitu proses menjadikan seseorang individu manusia yang sempurna.

“Itu yang perlu ibu bapa fikirkan, bukan fikir anak mereka wajib bermain dalam sesuatu kejohanan atau sebagainya. Itu tidak betul kerana pemain perlu berjuang untuk mendapat tempat. Mereka tidak seharusnya fikir apabila melakukan bayaran, anak mereka perlu bermain.

“Ibu bapa perlu sedar akademi bola sepak bukanlah semata-mata untuk bermain. Ia juga sebagai tempat menyediakan anak kita menjadi lebih sempurna membabitkan aspek disiplin, kawalan pemakanan, peraturan, menghormati orang lain dan sebagainya.”

Tambah Bakri, pemilihan akademi yang tepat memastikan tiada sebarang masalah wujud seperti kekurangan perlawanan.

“Kami di KBTL mempunyai kira-kira 1,000 pemain berusia 6 hingga 16 tahun. Kami menyediakan kejohanan dalaman bagi memberi lebih banyak peluang kepada semua pemain beraksi.

“Malah dalam aspek kewangan, kami hanya mengenakan bayaran RM5 bagi setiap sesi latihan selain pembahagian sama rata antara akademi dan pemain dalam aspek yuran dan hadiah kemenangan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:10 AM