Milan: Roma semakin menepati label selaku pencabar utama Serie A apabila mengukuhkan kedudukan di tangga kedua sekali gus kembali melonjakkan keyakinan selepas beberapa keputusan mengecewakan sebelum ini, kata jurulatih Rudi Garcia.

Roma bertandang ke Verona malam tadi sambil ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Juventus selepas juara bertahan itu menewaskan Atalanta 2-1 di Turin, Jumaat lalu.

Skuad Giallorossi seri lima daripada enam perlawanan terakhir dan sedar hanya kemenangan yang mampu menghidupkan semula peluang mereka untuk mencabar Serie A musim ini.

Ketika Garcia dan anak buahnya tidak pernah putus asa daripada mengejar scudetto pertama sejak 2001, pengendali Perancis itu mengakui mereka perlu terlebih dulu menang sebelum kembali bercakap soal gelaran.

“Tidak ada gunanya bercakap soal kedudukan teratas hinggalah kami mencatat beberapa kemenangan semula... ketika ini kami perlu mempertahankan kedudukan di tempat kedua terlebih dulu,” kata Garcia.

“Itulah cara terbaik untuk kami menghidupkan peluang. Tetapi kami perlu bermula dengan memenangi tiga mata di Verona.”

Apa yang perlu diperhatikan Roma ketika ini ialah pasukan di tangga ketiga, Napoli hanya lima mata di belakang mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:13 AM