Milan: Pemain tengah AS Roma Radja Nainggolan (gambar) mengingatkan rakan sepasukannya keputusan selain menang ketika bertemu Bayer Leverkusen akan memberi kesan terhadap impian kelab Serie A itu untuk menamatkan penantian lima tahun layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Selepas permulaan hambar pada kempen kali ini, skuad kendalian Rudi Garcia itu menduduki tangga tercorot Kumpulan E dengan dua mata hasil tiga perlawanan.

Dengan BATE Borisov dan Leverkusen hanya satu dan dua mata di atas, impian Roma untuk layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak musim 2010-11 masih belum berakhir.

Namun jika tewas kepada Leverkusen, ia bermakna Roma perlu menang baki dua perlawanan peringkat kumpulan termasuk menentang pendahulu Barcelona di tempat lawan jika mahu layak.

Aksi setempat di liga domestik minggu ini menjadi sesuatu yang kritikal buat Giallorossi yang menduduki tangga ketiga Serie A dengan hanya satu mata di belakang pendahulu, Fiorentina dan pasukan tangga kedua, Inter Milan.

Bagaimanapun pemain antarabangsa Belgium Nainggolan berkata, semua ingatan mengenai hasrat menundukkan Lazio perlu diketepikan seketika dan mereka kini harus mengutamakan sasaran layak ke kelompok 16 terakhir awal pagi esok.

“Kami perlu memikirkan soal Liga Juara-Juara terlebih dulu dan perlawanan awal pagi esok sangat penting,” kata Nainggolan selepas kekalahan 0-1 Roma kepada Inter, Sabtu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:47 AM