Milan: Inter Milan menundukkan AS Roma 2-1 kelmarin bagi membantu Juventus menghampiri kejuaraan keempat berturut-turut Serie A Itali.

Jika Juventus menundukkan Torino lewat malam tadi dan pasukan tangga kedua Lazio kecundang di tangan Chievo, mereka akan memastikan kejuaraan.

Keputusan antara Roma dan Inter kelmarin, yang menyaksikan 10 kad kuning dilayangkan, turut memberi kelebihan kepada Lazio bagi perebutan tangga kedua dan kelayakan automatik ke Liga Juara-Juara.

Inter mendahului selepas 15 minit apabila Hernanes merembat kencang dari dalam kotak penalti, sekali gus mengatasi penjaga gol Roma dan Itali, Morgan De Sanctis.

Roma menguasai bola dan memberi tekanan berikutan gol itu, namun terpaksa menanti hingga minit ke-63 untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan leret pemain tengah Belgium, Radja Nainggolan.

Bagaimanapun, pertahanan Roma dibolosi sekali lagi dua minit sebelum tamat apabila Mauro Icardi menyambar bola muntah dalam kotak penalti untuk memberi rangsangan kepada Inter yang melonjak ke tangga ketujuh.

“Percubaan kami terkena palang pada babak pertama, tapi selepas rehat kami lebih bermain seperti Roma,” jelas jurulatih Roma, Rudi Garcia.

“Saya tiada sebarang rungutan mengenai sikap dan keinginan untuk menang pemain saya pada babak kedua. Kami tiada masa untuk merungut kerana ada perlawanan lagi Rabu ini (awal pagi Khamis).” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:13 AM