TOTTI (kiri) diketepikan empat bulan sebelum ini ekoran kecederaan.
TOTTI (kiri) diketepikan empat bulan sebelum ini ekoran kecederaan.

Milan: Kehadiran Francesco Totti yang kembali bermain selepas sembuh daripada kecederaan gagal membantu AS Roma ketika pencabar gelaran Serie A itu meneruskan catatan hambar apabila sekadar seri 1-1 di tempat sendiri menentang AC Milan.

Totti kembali diturunkan selepas empat bulan berehat dan dia masuk menggantikan pemain Nigeria Umar Sadiq pada minit ke-70.

Namun, selepas Juraj Kucka menyamakan kedudukan apabila Antonio Ruduiger memberikan pendahuluan buat AS Roma pada minit kelima, kelibat Totti gagal memberikan kesan yang diharapkan Giallorossi. Mereka hanya mencatat satu kemenangan sepanjang tujuh perlawanan dan kerap diejek penyokong sendiri di Stadio Olimpico.

Roma kekal di tangga kelima, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Inter Milan tetapi buat kali kedua minggu ini, Roma tercicir dua mata.

Jurulatih Perancis Rudi Garcia melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan itu sekali gus menyebabkan masa depannya di kelab itu menjadi semakin tidak menentu.

“Malam ini, kami tidak ubah seperti Doktor Jekyll dan Mister Hyde,” kata Garcia.

“Persembahan kami menjadi semakin hambar sebaik babak kedua bermula. Fizikal dan mental pemain menurun secara mendadak .... kami bermula baik dan saya sama sekali tidak menjangka kami akan berubah pada babak kedua.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 7:59 AM