Milan: Pencabar kejuaraan Serie A, AS Roma kehilangan dua mata berharga apabila seri tanpa jaringan dengan Sampdoria sekali gus memberi peluang buat Juventus melebarkan jurang kepada tiga mata di puncak liga.

Roma berkunjung ke Genoa mencari keputusan positif selepas dibelasah Bayern Munich 7-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Rabu lalu.

Walaupun berjaya mencipta beberapa peluang, pasukan bimbingan Rudi Garcia bergelut menyudahkan peluang dan Sampdoria berpuas hati dengan keputusan seri bagi membolehkan mereka mengekalkan kedudukan di tempat ketiga, tiga mata di belakang Juventus dan Roma.

“Kami berjaya meraih satu mata daripada pasukan yang berada di tempat ketiga dalam liga.

“Ia persembahan yang baik selepas berjaya melupakan perlawanan dengan Bayern,” kata Garcia.

Pada perlawanan lebih awal, Parma yang berada di dasar liga meneruskan aksi buruk apabila tumpas 1-3 kepada pasukan yang bergelut, Sassuolo manakala Cagliari melonjak empat anak tangga apabila menewaskan Empoli, 4-0.

Parma kini tewas tujuh perlawanan, lima berturut-turut manakala Sassuolo melakar kemenangan sulung musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:06 AM