Miami, AS: Juara Masters Sergio Garcia (gambar) berjaya menempatkan diri dalam saingan pada aksi pusingan ketiga Kejuaraan Pemain yang berlangsung dalam cuaca berangin sementara dua pemain Amerika Syarikat Kyle Stanley dan JB Holmes berkongsi kedudukan pendahulu selepas aksi 54 lubang.

Garcia, juara Kejohanan Pemain 2008 dari Sepanyol dan pemain Argentina Emiliano Grillo masing-masing mencatat lima bawah par 67 di lapangan TPC Sawgrass untuk memperbaiki kedudukan biarpun Holmes dan Stanley terus mempertahankan kedudukan mereka sebagai pendahulu kejohanan Jelajah PGA AS dengan sembilan bawah par 207 keseluruhan.

“Biarpun keadaan mencabar dalam cuaca berangin dan sukar di luar sana, saya berjaya membuat beberapa pukulan berkualiti,” kata Garcia.

Ia penampilan pertamanya sejak mencipta sejarah muncul juara di Augusta National selepas gagal 73 kali dan Garcia menyerlah dengan enam birdie, tiga bogey dan eagle menerusi chip-in sejauh 17 kaki pada lubang ke-16.

“Saya sentiasa yakin kepada diri sendiri,” kata Garcia.

“Saya sentiasa percaya dengan kemampuan sendiri. Kejuaraan kejohanan utama banyak membantu dan menjuarai Masters dengan cara sendiri, meskipun tidak menganggap diri saya pemain berbeza, tapi dengan lebih banyak keyakinan, saya mampu melakukannya.”

Stanley membuat 72 pukulan manakala Holmes 70, masing-masing mencatat birdie di lubang ke-17 untuk mendahului satu pukulan berbanding pemain Afrika Selatan Louis Oosthuizen, yang membuat 73 pukulan dan mengumpul 208 keseluruhan.

Pemain Korea Selatan Kim Si Woo di tangga keempat dengan 209 keseluruhan selepas membuat 68 pukulan manakala Grillo dan pemain Britain Ian Poulter mengumpul 210 pukulan dan Garcia berkongsi tangga ketujuh dengan 211 keseluruhan bersama pemain AS Patrick Cantlay dan Alex Noren dari Sweden. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 12:34 PM