Milan: Carlos Tevez menyumbat dua gol, sekali gus membantu Juventus menjarakkan pendahuluan di depan AS Roma kepada lima mata di puncak carta Serie A kelmarin selepas membenam Verona 4-0.

Cabaran Roma bagi memburu scudetto pertama sejak 2001 tergugat Sabtu lalu apabila Palermo mengikat anak buah Rudi Garcia 1-1 di Sicily.

Ia keputusan seri kedua berturut-turut buat Giallorossi dan Juve, yang membelasah Verona 6-1 pada pusingan kedua Piala Itali pada pertengahan minggu lalu, tidak mensia-siakan peluang itu.

Verona tidak pernah menundukkan Juventus di Turin dan peluang pelawat mencetus kejutan besar dilihat sukar sejak minit ketiga apabila pemain Perancis, Paul Pogba mengelirukan penjaga gol Rafael menerusi rembatan jarak jauh.

Tevez yang direhatkan pada perlawanan Piala Itali, menambah gol kedua Juve empat minit kemudian apabila dia menyudahkan hantaran silang Alvaro Morata.

“Kami gembira, tapi masih dahagakan kejayaan dan mahu terus menang,” kata Tevez.

“Kini kami mendahului lima mata di depan Roma, tapi kami tidak boleh bersenang-lenang.”

Jurulatih Juve Massimiliano Allegri berkata: “Pujian kepada pemain, mereka bertindak dengan amat bagus walaupun agak leka seketika selepas dua gol pertama.

“Secara keseluruhan kami patut gembira. Kami mendahului lima mata dan layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara. Hanya kekalahan (kepada Napoli) pada Piala Super agak mengecewakan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:15 AM