Milan: Pemain sayap Serbia, Adem Llajic (gambar kiri) menyumbat dua gol termasuk gol penyamaan pada masa kecederaan sekali gus menyelamatkan AS Roma apabila seri 2-2 dengan Sassuolo sekali gus menyukarkan impian Giallorossi memburu kejuaraan, kelmarin.

Pintu gol Roma dibolosi kali pertama dalam liga musim ini di Olimpico ketika menang 4-2 ke atas Inter Milan minggu lalu.

Namun empat hari sebelum menanti kunjungan Manchester City pada pertembungan mesti menang dalam Liga Juara-Juara, penyerang Sassuolo jelas mendedahkan kelemahan benteng Roma.

Sekalipun melepaskan peluang merapatkan kedudukan satu mata berbanding pendahulu Juventus, jurulatih Roma, Rudi Garcia bersyukur dengan satu mata selepas kehilangan pemain tengah Daniele De Rossi yang dibuang padang pada minit ke-52.

“Kami mempamerkan kecekalan. Perlawanan malam ini satu lagi ujian. Ketinggalan 0-2 dan hilang seorang pemain bermakna kami bertindak baik malam ini,” ujar Garcia.

“Kami melakukan 24 percubaan, walaupun patut lebih ke sasaran dan dengan 10 pemain ia menunjukkan betapa kuatnya kami ketika menyerang.”

Kegagalan Roma bermakna mereka kini tiga mata di belakang juara bertahan Juventus yang seri tanpa jaringan di Fiorentina, Jumaat lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:42 AM