Ramai yang mula mengorak langkah tetapi mungkin tidak tahu teknik permainan yang betul. HAZRIL MDNOR akui kehebatan pemain profesional dalam e-Sukan yang boleh mengubah teknik permainan anda ke tahap lebih tinggi.

Jarang sekali kita dengar mengenai individu yang berjaya dalam arena e-Sukan, landasan baru yang kini digilai anak muda di serata dunia. Bagi anda yang tidak pernah mendengar istilah ini, e-Sukan atau sukan elektronik membawa maksud pertandingan kompetitif yang membabitkan permainan video dalam kalangan profesional. Genre permainan video yang biasa dikaitkan dengan sukan elektronik adalah 'First Person Shooter' (FPS) dan 'Multiplayer Online Battle Arena' (MOBA).

Oleh itu, Gen Y ingin berkongsi beberapa fakta menarik mengenai pemain profesional ini yang setiap seorang daripada mereka berjaya melakar sejarah tersendiri dalam permainan video popular masa kini terutama dalam genre MOBA. Mungkin selepas ini anda berpeluang menjadi lebih hebat selepas menonton video yang merangkumi corak permainan setiap pemain profesional ini. Jom baca!

Danil 'Dendi' Ishutin

Dikenali kerana corak permainannya yang unik dan tersendiri, Danil 'Dendi' Ishutin mula mengorak langkah sebagai pemain profesional dalam arena sukan elektronik sejak pembabitannya dalam pasukan profesional 'Natus Vincere'. Kebijaksanaan Dendi memikul peranan sebagai pemain laluan tengah atau 'mid' dalam Dota 2 berjaya melonjakkan namanya dalam kalangan pemain tegar e-Sukan di serata dunia.

Jejaka kelahiran Ukraine berusia 25 tahun ini mula menunjukkan minatnya dalam permainan maya apabila terbabit dalam pertandingan e-Sukan (Warcraft 3) yang dianjurkan di negara kelahirannya. Walaupun berjaya menempa nama dalam permainan itu melalui pelbagai pencapaian dan anugerah yang diterima daripada organisasi tempatan, Dendi bagaimanapun memilih untuk ke tahap lebih tinggi melalui pembabitannya dalam 'Dota 2'.

Tahun 2006 menandakan titik permulaan karier profesional beliau melalui kemasukannya dalam pasukan Wolker Gaming (WG). Empat tahun kemudian, dia dilamar menjadi pemain profesional kumpulan 'Navi' yang ditubuhkan pada Oktober 2010.

Ibarat bulan jatuh ke riba, tuah menjadi milik pasukannya apabila berjaya merangkul tempat pertama bagi kejohanan sukan elektronik Dota 2 iaitu The International 2011 yang mengumpulkan sebanyak AS$1 juta (RM3.61 juta). Kelebihan Dendi dapat dilihat melalui kebijaksanaannya mengatur strategi permainan dan membuat pemilihan yang betul dari segi 'item build' dalam permainan Dota 2.

Lee 'Faker' Sang-Hyeok

Mungkin individu lain dikenali kerana berjaya menempa nama melalui e-Sukan yang dianjurkan syarikat permainan popular seperti Dota 2 dan League of Legends. Bagaimanapun, itu tidak menghalang seseorang daripada menjadi popular. Itulah yang terjadi pada Lee Sang Hyeok atau lebih selesa dengan gelaran 'Faker'.

Anak muda kelahiran Korea Selatan ini mula berjinak-jinak dalam dunia 'game' sejak 2011 lagi apabila negara itu membuka 'server' LOL khas untuk pemain profesional dan amatur di Korea Selatan. Karakter kegemarannya ialah 'Leblanc' iaitu watak perempuan yang memiliki kuasa untuk mengelirukan karakter pihak lawan.

Kecekapan jejaka berusia 19 tahun ini mencetuskan kekeliruan kepada pihak lawan membuatkan dirinya berjaya memperoleh status sebagai pemain terbaik LOL dalam kategori 'mid lane' ketika bertanding di perlawanan sukan elektronik Korea Selatan untuk tahun 2013.

Kelebihannya menggunakan 'Leblanc' juga menunjukkan rekod tidak pernah kalah dan dilabel oleh rata-rata wartawan e-Sukan sebagai pemain terbaik dalam 'game' League of Legends. Rekodnya memainkan karakter itu juga turut menunjukkan prestasi luar biasa apabila berjaya mendapat 'pentakill' iaitu keadaan di mana seseorang pemain itu berjaya menjatuhkan kelima-lima pihak lawan sekali gus pada masa singkat.

Sesiapa yang pernah menonton videonya yang dimuat naik di laman hiburan YouTube pastinya mengetahui betapa hebatnya anak muda ini mengatur strategi dan setiap langkah bagi memenangi apa saja persaingan yang ditempuhi dalam pertandingan League of Legends itu.

Enrique 'xPeke' Cedeno Martinez

League of Legends (LOL) adalah salah satu permainan maya popular yang menjadi kegilaan remaja masa kini. Jadi tidak hairanlah begitu ramai anak muda mempelopori landasan ini sehingga mampu mencipta nama di persada antarabangsa. Menariknya, Enrique Cedeno atau lebih dikenali dalam kalangan peminatnya sebagai 'xPeke' antara pemain profesional LOL yang aktif dalam sukan elektronik itu, seterusnya mencipta fenomena tersendiri.

Anak muda berusia 23 tahun ini dikenali kerana statusnya sebagai pemain veteran dalam 'game' LOL yang diwujudkan sejak 2009. Bermula dari musim pertama lagi, Enrique sudah mula popular apabila berjaya menduduki tangga teratas yang membabitkan pemain lain di Amerika Syarikat dan benua Eropah.

Popularitinya terus meningkat naik selepas berjaya merangkul gelaran juara buat musim pertama kejohanan LOL di peringkat antarabangsa. Lebih menarik apabila dia turut mendapat gelaran pemain paling digeruni dan konsisten dalam permainan LOL untuk kategori 'mid lane'.

Kecekapannya mengendalikan karakter yang pantas dan mudah melarikan diri ataupun 'assassin' dipuji kerana berjaya mematahkan serangan pihak lawan yang cuba bersaing dengannya. Semasa musim kedua permainan LOL sedang berlangsung, Enrique berjaya menempatkan ketiga-tiga akaun buatannya berada di tangga teratas dalam pertandingan pemain terbaik LOL di 'server' barat Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:02 AM