SAMUEL Lino meraikan jaringan kemenangan ketika berdepan Bilbao. FOTO AFP
SAMUEL Lino meraikan jaringan kemenangan ketika berdepan Bilbao. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Atletico Madrid memperoleh kemenangan penting 3-1 ke atas Athletic Bilbao dalam La Liga, memberikan tamparan hebat dalam perlumbaan memastikan slot ke Liga Juara-Juara Eropah.

Girona memperoleh kemenangan 2-0 di Las Palmas yang hampir menjamin mereka akan bermain dalam kejohanan itu buat kali pertama musim depan, selepas kekalahan Athletic Bilbao.

Atletico kendalian Diego Simeone, berada di kedudukan keempat, mendahului enam mata daripada lawan Basque mereka, yang menghuni tempat kelima, tatkala berbaki lima perlawanan.

Selepas penyingkiran di peringkat Eropah dan kemudian kekalahan menyedihkan di Alaves hujung minggu lalu, Atletico kembali ke landasan yang betul dengan jaringan Rodrigo De Paul dan Angel Correa, serta gol sendiri Unai Simon.

Nico Williams menyamakan kedudukan untuk Bilbao selepas jaringan pembukaan De Paul pada separuh masa pertama, beberapa minit selepas dia mendakwa diserang secara perkauman ketika ingin mengambil sepakan sudut.

Kekalahan menyebabkan juara Copa del Rey, Bilbao tidak mungkin kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sedekad.

"Kami sangat teruja untuk perlawanan ini, kami mahu meraih tiga mata tetapi ia tidak menjadi," kata Williams kepada DAZN.

"Ia adalah musim yang baik dan kami akan teruskan sehingga akhir."

Pemain sayap Sepanyol itu menjelaskan dia mendengar 'bunyi monyet' dari satu kawasan stadium Atletico.

"Tidak ramai daripada mereka. Ada orang bodoh di mana-mana... Saya harap ini berubah sedikit demi sedikit," tambahnya.

Terdahulu, gol David Lopez dan penjaring terbanyak Artem Dovbyk membantu kelab kerdil Catalan, Girona mendaki sementara di tempat kedua, mengatasi juara bertahan Barcelona.

Girona mengekori pendahulu liga, Real Madrid dengan kurang 13 mata, selepas tewas dalam perebutan kejuaraan.

Skuad kendalian Michel Sanchez boleh memastikan kelayakan Liga Juara-Juara jika mereka menewaskan jiran terkenal, Barca hujung minggu depan di laman sendiri.

"(Layak ke Liga Juara-Juara Eropah adalah sejarah) bukan sahaja untuk kelab, tetapi untuk bola sepak Sepanyol secara umum," kata Lopez.

"Apa yang kami lakukan adalah gila... kami cuba menikmatinya, untuk melakukan yang terbaik mencipta sejarah."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 10:47 AM